PELAWAK dan pelakon, Ebby Yus memaklumkan khabar gembira apabila menerima sumbangan rumah mesra rakyat bernilai RM56,000 daripada kerajaan setelah kediamannya musnah dihanyut banjir pada Disember lalu.
Menurut pemilik nama Muhammad Yunus Abdul Rashid atau Ebby,56, pembinaan rumah sedang giat dijalankan di atas tapak tanah lama miliknya yang terletak di Hulu Langat, Selangor.
“Saya menerima sumbangan daripada kerajaan iaitu rumah mesra rakyat yang dibina dengan harga RM56,000. Pembinaan rumah baharu saja didirikan empat hari lalu dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan.
“Pembinaan masih di tapak sama, cuma rumah itu dibuat ke dalam sedikit supaya berjauhan dari sungai.
“Risau kejadian yang sama berulang pula pada masa hadapan,” ujarnya menerusi laporan Harian Metro.
Tambah Ebby, dia turut menzahirkan rasa syukur atas bantuan pelbagai pihak yang tidak putus memberi sumbangan buatnya.
“Alhamdulillah, saya menerima pelbagai bantuan daripada peminat, rakan selebriti dan menteri cuma mereka enggan nama didedahkan. Saya juga menghargai peminat dari Singapura iaitu Haji Taib mewakili SIAEC Legends dan Veterans yang banyak menyumbang,” katanya.
Dalam pada itu, Ebby turut berkongsi perkembangan kesihatannya selepas diuji dengan masalah paru-paru berair sehingga dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Disember lalu.
“Alhamdulillah, doktor sudah buat pemeriksaan dan keadaan paru-paru saya sekarang tidak memerlukan rawatan sampai perlu ditebuk. Walau bagaimanapun, saya perlu menjalani rawatan susulan di hospital.
“Terima kasih sebab ingat dan mendoakan kesihatan saya pulih. Percayalah, doa kepada saya berbalik kepada kalian semua. Doa yang baik-baik,” luahnya.

