SEKALI imbas, Bukit Bunuh yang terletak di Lenggong, Perak kelihatan seperti bukit biasa. Tiada apa yang istimewa melainkan hanya sebuah kawasan ladang kelapa sawit. Namun, di bukit ini tersimpan sejarah arkeologi berusia jutaan tahun lamanya.
Dari sudut arkeologi, manusia dikatakan menghuni bumi sejak 2 juta tahun dahulu, bermula di benua Afrika dan kemudian berhijrah ke Eropah. Namun, penemuan di Bukit Bunuh telah membuktikan kewujudan tamadun manusia berusia lebih 1.83 juta tahun di kawasan tersebut.
Sebelum ini, saintis barat berpendapat kemunculan manusia bermula di timur Afrika sekitar 2 juta tahun dahulu. Ia berlandaskan kepada bukti-bukti arkeologi berupa tulang-temulang dan artifak kuno yang ditemui di sekitar benua tersebut. Kemudian, manusia dikatakan mula berhijrah secara beramai-ramai 200,000 tahun berikutnya ke benua Eropah.
Saintis juga berpendapat, Homo Erectus adalah golongan pertama sekali yang melakukan penghijrahan tersebut. Mereka telah bertapak di Dmanisi, Georgia sekitar 1.8 juta tahun dahulu, sebelum berlaku penghijrahan ke benua-benua lain.

Di Asia, penemuan fosil manusia tertua ialah Java Man yang ditemui di Trinil, Pulau Jawa berusia 1.2 hingga 1.7 juta tahun. Manakala, satu lagi penemuan penting di Asia ialah Peking Man di Yuanmou dan Longgupo, China dengan pentarikhan 1.7 juta tahun.
Bagaimanapun, penemuan di Bukit Bunuh iaitu sebuah kompleks Paleolitik dengan pentarikhan melebihi 1.83 juta tahun telah mengubah fakta dunia sains tentang kewujudan manusia di muka bumi ini, khasnya di Asia. Penemuan tersebut menunjukkan kumpulan manusia Homo Erectus sudah wujud di Bukit Bunuh sebelum ia bertapak di Georgia, Pulau Jawa dan China.

Kajian geologi juga mendapati kawasan ini pernah ditimpa meteorit pada 1.83 juta tahun dahulu, juga menunjukkan sudah wujud kehidupan zaman Paleolitik di Bukit Bunuh sebelum impak meteroit tersebut.
Kajian arkeologi sudah bermula di kawasan ini pada tahun 1980-an, tetapi kesan-kesan sejarah hanya ditemui pada tahun 2001 apabila batu-batu kesan dari hentaman meteroit ditemui hasil daripada aktiviti pertanian. Turut ditemui artifak kapak genggam berbentuk tirus dengan kualiti batu jenis kuarzit, rijang dan kuarza yang berusia lebih 1.83 juta tahun.

Ini menunjukkan, kawasan yang terletak kira-kira empat kilometer dari Kota Tampan itu adalah tapak Paleolitik dunia yang berfungsi sebagai bengkel membuat alatan daripada batu. Malah, ia digunakan secara berterusan dari semasa ke semasa sejak lebih 1.83 juta tahun dahulu dan merupakan artifak tertua di dunia.
Teori nomadik tentang kebudayaan Paleolitik sebelum ini menyatakan bahawa mereka hidup berpindah randah. Bagaimanapun, penemuan bukti di Bukit Bunuh menunjukkan bahawa masyarakatnya tidak sedemikian kerana keperluan asas yang diperlukan sebagai manusia adalah melebihi keperluan.
Bukan itu sahaja, penyelidikan di Bukit Bunuh juga turut menemui bukti kemusnahan budaya awal Paleolitik ini akibat jatuhan meteorit pada 1.83 juta tahun dahulu yang telah dikenal pasti melalui bukti geomorfologi, kehadiran batuan suevit dan geologi kawasan.

Di sebalik sejarah jutaan tahun di bukit ini, tahukah anda bagaimana Bukit Bunuh mendapat namanya?
Ada kisah yang mengaitkan nama bukit ini dengan sepasang suami isteri miskin yang tidak mempunyai anak. Si suami mendapat mimpi harus membunuh isterinya jika mahu menjadi kaya. Setelah menceritakan mimpinya itu, si isteri rela mengorbankan dirinya untuk dibunuh suaminya.
Mereka pergi ke kawasan bukit ini. Semasa si isteri menghiris limau di tepi sungai, muncul satu lembaga hitam yang menyerangnya. Si isteri berjaya membunuh lembaga itu dan kemudian mendapati ada sesuatu yang berkilau di dalam mulut lembaga itu. Rupa-rupanya, ia adalah emas. Akhirnya, si suami tidak jadi mengorbankan isterinya dan mereka hidup senang hasil emas tersebut.
Namun, kisah di atas hanya sekadar mitos. Sekadar cerita penglipur lara sahaja. Bukan kisah benar.
Kawasan Bukit Bunuh dahulunya merupakan markas pihak komunis. Ketika dalam perjalanan komunis untuk menyerang Chemor, mereka berhenti di situ. Kemudian, mana-mana askar atau orang kampung yang berjaya ditawan komunis dan menentang mereka akan dibunuh di bukit tersebut. Dari situ bukit itu mendapat nama sebagai Bukit Bunuh.
Kawasan yang terletak di bahagian barat Sungai Perak ini tidak pernah diusik sehinggalah pada zaman penjajahan Inggeris, apabila ia telah diterokai dan diusahakan sejak awal tahun 1900 sebagai kawasan ladang dengan tanaman getah dan kelapa sawit.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV.