PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sah bakal bersaing dengan ‘rakan pembangkang’ iaitu PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Kerusi DUN Larkin juga bakal menyaksikan pertembungan enam penjuru.
Selain MUDA dan PKR, parti lain yang akan bertanding merebut kerusi berkenaan termasuk Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan seorang calon Bebas.
MUDA bakal diwakili Rasid Abu Bakar manakala PKR mencalonkan Dr. Zamil Najwah Arbain yang sebelum ini merupakan calon kerusi Tanjung Surat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
BN pula meletakkan Ketua Pemuda UMNO Johor, Hairi Md. Shah sementara bekas setiausaha akhbar menteri, Zulkifli Bujang menjadi calon bagi PN.
Pejuang mencalonkan Mohamad Riadz Mohamad Hashim manakala pakar motivasi dan pendakwah bebas, Norramadan Buan sebagai calon Bebas.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Abdul Rahman Salleh mengisytiharkan keputusan penamaan enam calon yang sah bertanding di DUN Larkin pada pukul 10.30 pagi tadi.
Baca artikel berkaitan: PRN Johor: Tiga parti cabar Dr Sahruddin di Bukit Kepong
Abdul Rahman berkata, pihaknya mengesahkan enam pencalonan itu selepas berpuas hati dengan dokumen penamaan calon.
Sebelum ini, hubungan antara PKR dan MUDA sedikit retak selepas parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu membuat keputusan untuk meletakkan calon di Larkin.
PKR turut mempersoalkan tindakan MUDA bertanding di kawasan berkenaan sedangkan sudah mengetahui PKR turut bertanding di situ.
Bahkan tindakan itu disifatkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir akan menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan terhadap pengundi di kawasan berkenaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

