HALA tuju pembangunan landskap negara pada masa hadapan perlu menumpukan kepada empat perkara penting bagi memastikan Keluarga Malaysia mendapat manfaat sepenuhnya.
Empat perkara yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu merangkumi usaha memperkemas sistem jaringan landskap negara di samping mendaya upaya potensi dan nilai ekonomi industri landskap.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, pembangunan landskap juga perlu melindungi aset landskap Keluarga Malaysia.
Selain itu, Ismail Sabri memaklumkan, perkara yang perlu dititikberatkan melibatkan soal landskap adalah mempertingkat kualiti perkhidmatan landskap negara.
Menurut beliau, empat perkara itu juga seiring dengan penambahbaikan dasar bagi memenuhi kehendak Keluarga Malaysia dalam mendepani cabaran serta keperluan negara terhadap pematuhan agenda kemampanan dunia selain perubahan dalam konsep pembangunan fizikal negara.
“Prinsip keseimbangan di antara pembangunan fizikal dan landskap perlu dijadikan prinsip asas secara berterusan kepada peningkatan kualiti penghasilan dan kemampanan persekitaran kehidupan.
“Bagi memastikan Keluarga Malaysia mendapat manfaat sepenuhnya, program Landskap Negara perlu diteruskan dan kepentingan landskap dalam pembangunan negara perlu diperkukuh,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Hari Landskap Negara 2022 di Taman Ekoflora, Johor Bahru, hari ini.

Baca artikel berkaitan: PM umum pelaksanaan MRT3 dan dua lagi projek infrastruktur berimpak tinggi
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kepentingan landskap sebagai komponen kesejahteraan sosial rakyat dibuktikan dengan peningkatan penggunaan taman-taman awam dan ruang landskap seluruh negara seperti Taman Persekutuan Bukit Kiara.
Kata beliau, data menunjukkan jumlah pengunjung ke Taman Persekutuan Bukit Kiara meningkat 287.10 peratus tahun lalu berbanding tahun sebelumnya sekali gus membuktikan kepentingan taman menjadi ruang rekreasi utama Keluarga Malaysia semasa pandemik COVID-19.
Dalam tempoh 25 tahun ini, Ismail Sabri memaklumkan, taman seluas 23,669.15 ekar telah dibangunkan di seluruh negara dan melalui kerjasama semua pihak, kualiti pembangunan landskap yang indah serta damai telah bercambah.
“Untuk menjadikan Malaysia Negara Taman Terindah tentunya bukan mudah dicapai, namun ia tidak mustahil untuk direalisasikan.
“Menjadi hasrat kerajaan agar setiap negeri mempunyai taman awam berkonsepkan Taman Persekutuan dan dapat meningkatkan akses rakyat kepada kawasan landskap.
“Ia sekali gus meningkatkan kawasan hijau di kawasan perbandaran yang menjadi faktor utama penyumbang rendah karbon dan keselesaan persekitaran bandar yang memberi impak kepada peningkatan kualiti persekitaran serta kehidupan Keluarga Malaysia,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

