DARI kiri (atas): Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad, Zarina Abdul Kadir dan Datuk Mohd Tarid Sufian dan dari kiri (bawah), Nazmi Amri dan Rahman Hussin.

MERAQUE Services Sdn Bhd (Meraque), sebuah syarikat teknologi dron Malaysia baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Al Nabooda Chulia, sebuah syarikat perkhidmatan pengurusan fasiliti berpangkalan di Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE). MoU tersebut bertujuan menjalin kerjasama dan penglibatan aktif kedua-dua syarikat untuk mengembangkan perkhidmatan dan penyelesaian Meraque ke pasaran Asia Barat dan Afrika.

Sebagai sebahagian daripada MoU, kerjasama rakan kongsi baharu itu akan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman masing-masing untuk berusaha meletakkan asas yang kukuh penerimagunaan penyelesaian kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) terkemuka industri di seluruh rantau tersebut. Ia akan memanfaatkan penggunaan kejuruteraan dan inovasi dron terkini, selaras dengan matlamat pengembangan global Meraque.

Pertukaran dokumen MoU dilakukan antara Ketua Pegawai Strategi Meraque, Rahman Hussin dan Pengurus Besar Al Nabooda Chulia, Nazmi Amri dalam satu majlis yang diadakan di Pavilion Malaysia, Dubai Expo pada 28 Februari lepas di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Majlis turut dihadiri dan disaksikan Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu, Datuk Mohd Tarid Sufian, Ketua Eksekutif Invest Johor, Zarina Abdul Kadir dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad.

Meraque menyasarkan untuk menjana 1,000 peluang pekerjaan di seluruh dunia dan meletakkan sasaran untuk mencipta impak ekonomi bernilai RM90 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang melalui perolehan eksport dan seterusnya mengukuhkan komitmen mereka menyokong cita-cita Malaysia untuk menjadi pemain utama dalam industri dron global serta menjadi hab dron ASEAN.

Ketua Pegawai Strategi Meraque, Rahman Hussin berkata: “Kami sangat gembira dapat bekerjasama dengan Al Nabooda Chulia. Dron dan teknologi berkaitannya mempunyai banyak potensi menarik untuk digunakan dalam pelbagai industri dan ia terbukti mampu menjadi faktor pengubah dalam transformasi industri. Semuanya terhasil kerana faedahnya yang tiada tandingan.”

“Keadaan tersebut mewujudkan pasaran yang masih belum diterokai. Kerjasama dengan Al Nabooda Chulia adalah langkah ke hadapan yang penting buat kami dalam memulakan rancangan pengembangan syarikat. Pengetahuan komprehensif Al Nabooda Chulia dan pemahaman yang luas mereka mengenai bidang pengurusan kemudahan dan landskap teknologi dron di Asia Barat dan Afrika, pasti akan memberi kelebihan. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Invest Johor dan Iskandar Investment Berhad atas sokongan berterusan mereka dalam membantu kami merealisasikan kerjasama ini,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad yang mengucapkan tahniah kepada Meraque dan Al Nabooda Chulia berkata, agensinya sangat berbesar hati dalam menyokong kerjasama kedua-dua syarikat tersebut.

“Potensi yang ditawarkan oleh teknologi dron hari ini sangat menarik. Pasaran global untuk teknologi dron telah menyaksikan pertumbuhan yang menakjubkan dan kami gembira melihat terdapat syarikat pemula Malaysia sedang memanfaatkan ‘lombong emas’ ini. MoU ini adalah pengesahan bahawa syarikat pemula Malaysia bersedia untuk berkembang ke pasaran global jika diberi peluang mengakses pasaran tersebut,” katanya.

Meraque telah memulakan inisiatif pemangkin melalui program latihan dan kemahiran dengan kerjasama kerajaan persekutuan dan negeri dalam usaha membentuk dan melengkapkan 500 belia dengan kemahiran yang diperlukan untuk memasuki pasaran pekerjaan industri dron di dalam dan luar negara menjelang 2023.

Meraque juga dinamakan sebagai penyedia perkhidmatan teknologi dron ke-19 terbaik di dunia tahun lepas oleh Drone Industry Insights, perunding penyelidikan pasaran yang berpangkalan di Jerman.

Industri dron telah berjaya menarik minat ramai dengan pasaran dron global diramalkan mencapai AS$41.3 bilion pada 2026 menurut Drone Market Report 2021-2026. – UtusanTV