PELAKON Syafie Naswip, 30, mengakui kecewa dengan sikap penggiat seni yang sanggup melakukan gimik murahan demi menaikkan ‘rating’ drama lakonan mereka.
Menerusi perkongsian Syafie di Instagram miliknya, dia meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pelakon yang sering melakukan aksi tidak masuk akal ketika di set penggambaran.
“Zaman sekarang nak popularkan drama kena buat pergaduhan di set penggambaran, kena buat siaran langsung menangis-nangis macam psiko.
“Lepas itu, apabila dikecam kata salah netizen dan jawapan tidak apa, ‘aku dapat pahala percuma’,” katanya.

Lebih mengecewakan lagi, ujar Syafie, tindakan tersebut sering dilakukan oleh pelakon yang memiliki bakat dalam bidang lakonan.
“Lebih menyakitkan orang yang buat ini (gimik murahan), adalah orang-orang yang sangat berbakat. Kenapalah? Tidak boleh hadam.
“Boleh sahaja nak ‘marketing’ cara yang lebih sihat dan bermaruah sedikit. Cukuplah berlakon di set sahaja,” tuturnya.6
Sementara itu, tinjauan URTV ke ruangan komen mendapati, rata-rata netizen serta rakan artis bersetuju dengan pendapat yang diberikan oleh pelakon filem Songlap itu.
Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila pelakon Mona Allen mendedahkan dia sengaja dicekik oleh Iqram Dinzly ketika penggambaran drama Hati Yang Dikhianati.
Bagaimanapun, netizen menyifatkan dakwaan yang dilemparkan oleh Mona adalah gimik semata-mata untuk menaikkan ‘rating’ drama tersebut.

