Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika hadir ke Ceramah Grand Finale Pentas Presiden Perikatan Nasional di Bilik Gerakan Zon Utara, Pagoh Jaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

BERBAKI kira-kira 10 jam sebelum hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuka tirai, Perikatan Nasional (PN) menasihatkan lebih 2.8 juta pengundi menggunakan hak masing-masing dengan memilih kerajaan yang membawa mesej integriti dan menolak rasuah. 

Dalam ucapan di hadapan penyokong di Bilik Gerakan Zon Utara, Pagoh Jaya, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, pilihan setiap pengundi memainkan peranan penting bagi memastikan Johor ditadbir dalam keadaan yang baik dan sempurna. 

Sehubungan itu, Muhyiddin sekali lagi menyeru semua pengundi memilih calon-calon PN yang secara jelas menolak penyelewengan kuasa dan rasuah. 

Beliau berkata, keluar mengundi adalah hak setiap rakyat yang termaktub dalam sistem demokrasi berparlimen menerusi peti undi untuk membentuk kerajaan. 

“Hak ini suatu amat penting dan mustahak, jadi gunakan ia bagi memilih kerajaan yang menjamin masa depan kita serta anak-anak kita. Tak mengundi bermakna anda tak gunakan hak dan satu kerugian besar kepada negeri Johor. 

“Sebab itu saya nak ingatkan semua pengundi untuk keluar beramai-ramai dan pastikan undi calon-calon PN,” katanya penuh bersemangat sambil disambut sorakan penyokong. 

Beliau berkata demikian dalam Ceramah Perdana PN di Bilik Gerakan Zon Utara, Pagoh Jaya, hari ini. 

Baca artikel berkaitan: PRN Johor: Tak benar Tosrin calon MB, itu taktik jahat, kata Muhyiddin

Turut hadir, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menasihatkan pengundi atas pagar menolak parti yang sudah terbukti terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa. 

Apa yang penting, kata Muhyiddin, bangsa Johor tidak perlu memperjudikan masa depan dan nasib negeri mereka. 

“Masuk tempat mengundi, pegang pensel dan pangkah PN, mudah sahaja. 

“Pengundi atas pagar ini peratusannya masih besar kerana mereka sedang mempertimbangkan siapa yang mereka nak pilih tapi pastikan pilih kerajaan yang berintegriti. 

“Pilih kerajaan yang tidak rasuah, tak salah guna kuasa, tak lakukan penyelewengan dan tidak berlaku salah guna kuasa hanya untuk kepentingan ‘puak-puak’ dan ‘suku-sakat’ mereka sahaja,” jelas beliau. 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram