PENYANYI terkenal Tegar Septian mengakui sangat merindukan isteri dan anaknya yang berada di Indonesia setelah berjauhan dalam tempoh yang agak lama.
Menurut Tegar,21, dia akan menghubungi isterinya setiap hari untuk bertanyakan khabar dan tidak mahu bersedih terlalu lama kerana mahu memberi fokus pada pertandingan Big Stage 2022.
“Isteri dan anak saya berada di Indonesia. Tetapi selalu sahaja memberikan saya semangat walaupun berada jauh. Setiap hari saya akan telefon mereka.
“Tak terhitung berapa kali sehari saya akan bercakap dengan mereka. Kalau nak tahu, ini adalah tempoh yang paling lama saya berjauhan dengan mereka.
“Rindu memang rindu. Tetapi, saya ada perjuangan yang harus diselesaikan di Big Stage 2022. Saya juga tak mahu larut dalam perasaan sedih sebab berjauhan dengan mereka.
“Saya perlu fokus dengan persembahan pada setiap minggu. Lagi pula ini sebuah pertandingan,” ujarnya menerusi laporan mStar.
Dalam pada itu, pelantun lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang ini turut senang hati berkongsi perkembangan anak lelakinya, Abidzar Oktaviano Putra Septian yang mula menunjukkan minat sama seperti dirinya.
“Sebagai bapa, saya lihat, anak saya itu sudah mula ikut ciri-ciri saya sedikit. Dia suka muzik. Malah, suka bergadang (berjaga lewat).
“Waktu tidur dia pula ada kala pukul 2 atau 3 pagi. Eh, mengikut saya pula. Tapi bagusnya, anak saya ini seorang yang cepat ‘tangkap’ dan belajar belajar,” kongsinya.
Malah, Tegar juga meluahkan hasratnya untuk membawa isteri dan anaknya ke Malaysia jika berpeluang melangkah ke pentas akhir Big Stage.
“Insya-Allah, ada juga saya merancang untuk bawa mereka ke sini jika ada rezeki meneruskan kerja muzik di sini,” luahnya.
Buat info, Tegar mendirikan rumah tangga bersama Sarah Sheilka pada Mac 2020 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Abidzar Oktaviano Putra Septian yang kini berusia dua tahun.

