Jika dari sudut kesihatan, memang jelas lidah mempunyai banyak fungsi dan juga manfaatnya kepada tubuh badan manusia. Begitu juga dari sudut agama, Islam tidak pernah mengecilkan peranan lidah sebagai salah satu anggota terpenting dalam diri makhluk terutama manusia. Oleh disebabkan itu, lidah turut disebut dalam al-Quran dan dalam hadis juga Rasulullah s.a.w. banyak menyebut tentang lidah.
Menurut Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. A. Irwan Santeri Doll Kawaid al-Nadawi menegaskan, dalam al-Quran atau hadis sebutan lidah lebih merujuk kepada kata-kata atau yang melibatkan percakapan.
Namun mengenai nikmat yang dikurniakan, Allah ada menyebutnya menerusi surah al-Balad bermula ayat 8 hingga 10,
“Bukankah telah Kami beri dia dua mata, dan satu lidah serta dua bibir dan Kami telah tunjukkan kepadanya dua jalan yang jelas?.
Walau bagaimanapun banyak disebut oleh Allah berkenaan lidah ialah mengenai pertuturan ataupun bahasa yang disandarkan pada perkataan lidah. Pelbagai kelebihan yang Allah sediakan untuk hambaNya bagi meraih syurga. Tetapi seksaan yang pedih juga menanti buat mereka yang tidak menjaga dan menggunakan nikmat yang Allah beri itu dengan sebaiknya.
Imam al-Ghazali pernah berkata “Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.”
Malahan, Ibnu Kathir juga ada menceritakan perihal lidah dalam tafsirnya menerusi ayat 12 dari surah Luqman, iaitu dalam hal menceritakan kisah tentang Luqman. Maksud tafsir Ibnu Khatir itu ialah:
Ibnu Jarir meriwayatkan sebuah keterangan dari Khalid ar-Rab’i. Ia berkata, “Luqman adalah seorang hamba sahaya berketurunan Habsyi dan bekerja sebagai tukang kayu. Suatu saat tuannya berkata, “Sembelihlah seekor kambing untuk kami.” Ia pun menyembelih kambing untuk tuannya. Selanjutnya tuannya berkata lagi, “Keluarkan dari kambing itu dua macam daging yang paling baik.” Maka dia pun mengeluarkan lidah dan hati.
Kemudian waktu pun berlalu beberapa lama. Selanjutnya tuannya berkata (seperti yang pertama), “Sembelihlah untukku kambing ini”. Dia pun menyembelihnya. Lalu berkata, “Keluarkanlah dua macam daging yang paling buruk dari dalam tubuh kambing ini.”
Maka dia pun mengeluarkan lidah dan hati. Tuannya bertanya kepadanya “Aku memerintahkanmu untuk mengeluarkan dua buah daging yang paling baik, lalu engkau mengeluarkan lidah dan hati. Saat aku perintahkan engkau untuk mengeluarkan dua buah daging yang paling buruk, engkau pun mengeluarkan hal yang sama, mengapa kamu lakukan itu?” Luqman menjawab, “Sungguh, tidak ada sesuatu pun yang lebih baik dari hati dan lidah bila keduanya baik. Dan tidak ada sesuatu pun yang lebih buruk dari hati dan lidah bila keduanya buruk!”.

Daripada kata Imam al-Ghazali dan kisah dari Luqmanul Hakim di atas, ia jelas menunjukkan kepada kita besarnya peranan lidah dalam kehidupan manusia kerana lidah kita boleh masuk syurga dan kerana lidah juga boleh dihumban kita ke neraka.
Tegas Dr. A. Irwan Santeri lagi, pelbagai amalan yang boleh dilakukan dengan lidah bagi hamba yang beriman. Antaranya ialah berzikir yang memang memerlukan lidah untuk menyebut segala butir kata dalam memuji Sang Pencipta.
Begitu juga dengan zikir yang disukai oleh Allah sebagaimana yang pernah Nabi s.a.w sebutkan
“Dua kalimah yang ringan di lidah, berat di atas neraca timbangan dan disukai oleh Tuhan Yang Maha Pengasih ialah: SubhanAllahi wa bihamdih, SubhanAllahil-`Azim“ HR Bukhari & Muslim.
Watak Penting
Dr. A. Irwan turut menjelaskan keistimewaan lidah dalam Islam kerana ia adalah menjadi watak penting dalam dua keadaan utama, iaitu sebagai bukti penyaksian dalam bab akidah dan juga undang-undang Islam.
Dalam bab akidah contohnya, setiap muslim perlu melafazkan syahadah pada mulut bagi pembuktian sebagai Muslim, lintasan di hati tidak dikira di sisi Islam. Di dalam solat juga Allah telah menetapkan bacaan al-fatihah memerlukan kepada bacaan yang disebut pada lidah. Bahkan ianya tidak akan sah solat jika membaca ayat suci itu di dalam hati.
Begitu juga dengan bukti penyaksian undang-undang Islam. Dalam bab hukuman terhadap orang yang bersalah, Islam meletakkan beberapa syarat dalam menentukan seseorang itu bersalah ataupun tidak, salah satunya adalah melalui pengakuan yang dibuat oleh pesalah itu sendiri.
Dua hal yang disebut di atas adalah sesuatu nikmat yang sangat besar Allah berikan pada lidah, tiada pada anggota lain. Rukun qauli dalam Islam hanyalah dengan lidah, disebabkan itu lidah antara anggota penting yang Allah bekalkan kepada seluruh manusia.
Jika ada anggota lain yang cacat atau tidak sempurna untuk digunakan, tetapi lidah masih lagi berfungsi. Malah jika tidak dapat bercakap atau orang bisu sekalipun, tetapi lidah masih lagi dalam berfungsi dengan baik dalam menjalankan tugasnya sebagai perasa, penelan makanan dan sebagainya.

Begitu juga jika ada mereka yang tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan. Tanda ketidak syukuran itu adalah dengan menggunakan segala anugerah Allah ke arah keburukan seperti menggunakan lidah untuk pertuturan yang tidak elok, seperti mengumpat, berbohong, mencaci dan banyak lagi.
Justeru, moga-moga kita semua termasuk dalam golongan hamba Nya yang menggunakan lidah ke arah kebaikan bagi meraih syurga. Janganlah menjadi mereka yang tidak bersyukur seterusnya menjerumus ke kancah penuh penyiksaan yakni neraka Allah.
Dr. A. Irwan Santeri juga memberitahu, melalui sebuah hadis, Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan Iman Tarmizi dan Ibnu Majah, Abu Hurairah menceritakan apabila Rasulullah s.a.w ditanya sebab terbesar yang membawa seseorang masuk syurga, Rasulullah menjawab
“Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik.”
Apabila ditanya pula sebab terbesar yang membawa manusia masuk neraka, maka Rasulullah menjawab, “Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan.” Wallahu a’lam
_____________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

