DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) mengemukakan pindaan Akta DBP membabitkan tiga perkara utama bagi membolehkan penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan termasuk di pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan
berkata, pindaan pertama melibatkan pemberian kuasa penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, khasnya Perkara 152(6).
Menurutnya, ia memperuntukkan penggunaan bahasa Melayu dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.
Pindaan kedua katanya melibatkan peruntukan yang membolehkan DBP mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa secara yang berasaskan undang-undang sah walaupun ia pengembangan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat dunia dilaksana sejak 1980-an.
“Pindaan aspek pengantarabangsaan juga berkaitan rapat dengan kelulusan Jemaah Menteri menubuhkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) pada tahun 1997, dengan DBP sebagai Urus Setianya.
“Selain itu, pindaan ketiga berkaitan dengan peruntukan yang membolehkan DBP menubuhkan perbadanan agar fungsi perniagaan DBP dapat digerakkan dengan lebih berkesan.
“Sebagai badan berkanun, DBP hanya menerima peruntukan emolumen daripada kerajaan dan perlu menjanakan pendapatan untuk melaksanakan program perancangan bahasa, persuratan dan penerbitan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Dr. Awang yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM berkata, dengan kelulusan pindaan itu, DBP dapat menyumbang kepada kerajaan dalam aspek kewangan negara.
Ujar beliau, DBP yakin bahawa iltizam kerajaan dalam usaha mengangkat bahasa dan persuratan Melayu di peringkat negara dan antarabangsa menjadi asas penting pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan sebagai salah satu dasar utama negara.
“Di samping itu, kesungguhan Perdana Menteri untuk melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi di peringkat antarabangsa dapat meningkatkan imej dan maruah negara di mata dunia. Semoga iltizam Perdana Menteri disertai oleh semua pemimpin lain,” katanya.
Sementara itu, Dr Awang menghargai ucapan penggulungan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Perhimpunan Agung UMNO yang mencadangkan kerajaan agar meminda Akta DBP untuk membolehkan penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, termasuk di Pihak Berkuasa Tempatan.
Menurutnya, beliau sudah memaklumkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, supaya semua pelajar asing yang belajar di negara ini mesti mempelajari BM.
Katanya, ia adalah usaha kerajaan untuk memartabatkan BM dan menjadikan bahasa kebangsaan Malaysia itu sebagai bahasa ilmu.

