SINGLE berjudul Saranghae berkonsep K-pop yang dihasilkan Meer Nash tahun lalu berjaya memperkenalkan lagi namanya bukan saja sebagai penyanyi tapi juga komposer.

Enggan menunggu lama, Meer, 27, atau nama sebenarnya Muhamad Shahmeer Mohd Nashrul terus mengorak langkah dengan muncul menerusi single Kembali yang dilancarkan secara rasmi pada 11 Mac serentak dengan video lirik.

Lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh MFMF yang dianggotai oleh Brendan Lim Seng Meng, Seow Seng Tack dan Wee Zhen Yong itu disifatkan Meer sebagai karya yang ‘easy listening’.

“Lagu ini pada pendapat saya lagu yang ‘chill’, ‘very easy listening’ dan dalam masa sama ‘fun’. Kembali juga lagu yang sangat ‘cute’ untuk ditujukan kepada ‘crush’ kalau tak berani nak meluahkan isi hati.

“Saya boleh bayangkan lagu ini dimainkan pada waktu pagi kerana ia lagu yang sesuai untuk memulakan hari kita.

“Lagu Kembali ini pada asasnya boleh dikatakan macam ‘pickup line’ dan ditujukan kepada orang yang kita suka. Contoh ‘pickup line’ maaf ku tak sengaja buat mu lelah kerna kau selalu berlari di minda.

“Sebab bukan semua orang berani meluahkan depan-depan. Malah, ada juga yang tak berani meski sekadar nak hantar mesej. Jadi lagu ini dihasilkan dan sesuai untuk mereka yang melalui situasi sedemikian. Kiranya, nanti boleh hantar ‘link’ lagu dan boleh buat tanya ‘cute’ tak lagu ini, selesai!” katanya.

Berbanding single sebelumnya, Meer berkata, dia tidak terbabit dalam proses penghasilan lagu yang mendapat sentuhan MFMF selaku penggubah dan penerbit.

Menurut Meer, dia dapat belajar banyak perkara baharu dengan MFMF yang disifatkan sebagai seorang yang kreatif dalam berkarya.

“Menerusi lagu ini saya tidak terbabit dari segi penciptaan dan penulisan lirik kerana menjalani proses kuarantin. Tapi MFMF memaklumkan yang mereka menyiapkan lagu ini dalam tempoh lima jam saja. Ia sangat cepat.

“Dengan MFMF, apa boleh dikatakan mereka mempunyai idea yang segar dan tahu apa nak buat. Saya dapat belajar banyak perkara daripada mereka dan bukan menerbitkan muzik saja tapi pilihan gaya dalam nyanyian juga. Bagaimanapun, kami bersemangat,” ujarnya.

Berkongsi mengenai cabaran merakamkan lagu dan video lirik Kembali, Meer berkata, dia berdepan waktu yang singkat.

“Ketika proses rakaman, ia sangat relak, saya tidak rasa gementar seperti saya merakam lagu lain kerana lagu ini sepatutnya ‘chill’, jadi cara nyanyi pun kena ‘chill’.

“Saya ingat MFMF ada cakap letak tepi soal vokal dulu. Mereka mahu saya cuba sampaikan perasaan yang saya suka sangat, mengaku, jadi saya luahkan dan bercakap, jangan menyanyi.

“Dalam masa sama, MFMF pun ada kawal vokal saya,’vibe’ macam mana yang sesuai dari segi tenaga sama ada perlu berlebihan atau kurangkan. Mereka yang hasilkan lagu ini jadi mereka lebih tahu pembawaan yang sesuai.

“Dari segi cabaran pula, adalah jangka masa yang sangat pendek. Kalau ikutkan kami hanya ada masa dalam dua minggu lebih untuk siapkan lagu ini iaitu dari tidak ada melodi dan lirik hingga proses menghasilkan video muzik. Apabila semuanya selesai dalam tempoh itu saya macam tak percaya berjaya lakukannya. Tahniah pada semua pasukan,” katanya.

Pastinya, Meer mengharapkan lagu Kembaki di terima baik dan mampu menambat hati pencinta muzik tanah air.

“Saya memang mahukan video lirik yang ringkas dan ‘sweet’. Jadi kami putuskan untuk buat konsep Facetime dan proses berjalan baik walaupun kami tidak mempunyai jalan cerita yang banyak.

“Saya berharap lagu ini boleh menjadi lagu yang orang ramai boleh jadikan medium untuk meluahkan isi hati mereka.

“Kalau boleh biarlah lagu ini membuatkan kita semua tersenyum pada saat permulaan hari, terhibur ketika sedang memandu, sekaligus memperkenalkan saya kepada khalayak dengan lebih dekat,” jelasnya.

Kembali kini boleh didengari di kesemua digital platform seperti Spotify, Apple Music, Joox KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala video liriknya pula boleh ditonton di saluran Youtube Meer Nash.