Mukjizat alQuran beruntung pembacanya
Sekadar gambar hiasan

Beruntungnya orang-orang yang membaca al-Quran. Setiap huruf yang dibaca diberikan ganjaran besar oleh Allah S.W.T. Bayangkan kalau kita baca satu muka penuh helaian al-Quran setiap hari, berapa banyak pula ganjaran pahala dan kelebihan lain yang kita bakal dapat?

Banyak kan? Kalau kita hidup selama 64 tahun contohnya, didarabkan pula dengan huruf-huruf yang dibaca, sudah tentu tidak terhitung dek jari-jemari. Itu baru sekali baca al-Quran. Kalau khatam beberapa kali sepanjang hidup. Kiralah sendiri kelebihannya. Sungguh hebat!

Di dalam hadis juga banyak menceritakan tentang kelebihan-kelebihan membaca al-Quran. Sebagai contoh Rasululullah s.a.w. bersabda,

“Perumpamaan orang Mukmin yang membaca Al-Quran, adalah seperti bunga utrujjah, baunya harum dan rasanya lazat; orang Mukmin yang tidak membaca Al-Quran, adalah seperti buah kurma, baunya tidak begitu harum, tapi manis rasanya; orang munafiq yang membaca Al-Quran ibarat sekuntum bunga, berbau harum, tetapi pahit rasanya; dan orang munafiq yang tidak membaca Al-Quran, ia tak ubah seperti buah hanzalah, tidak berbau dan rasanya pahit sekali.” HR Bukhari

Malah jika seseorang membaca al-Quran dengan niat untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mengurniakan ilmu kepadanya. Manakala, jika seseorang inginkan pahala melalui pembacaan tersebut, maka Allah akan kurniakan pahala kepadanya.

Namun, jika seseorang membaca dan menjiwai isi al-Quran, maka dia berhak mendapat apa jua yang dia mahukan. Begitulah besarnya kelebihan membaca al-Quran, apatah lagi sekiranya kita beramal dengannya. Bagaikan satu penghargaan cemerlang disisi Allah sekiranya ia dapat diperolehi dengan seikhlas hati.

Kemudian Rasululluh s.a.w. bersabda, “Sebaik-baik kamu adalah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya.” HR Muslim.

Dari hadis itu dapat disimpulkan bahawa golongan yang membaca al-Quran adalah sebaik-baik umat manusia. Apa yang pasti, golongan yang sentiasa membaca al-Quran ini, adalah mereka yang hatinya sentiasa dijaga oleh Allah akan kesuciannya.

Itu belum lagi ganjaran bagi mereka yang mengajarnya. Terdapat kisah-kisah yang diceritakan oleh Allah di dalam kitab Nya malah turut diceritakan oleh Nabi sendiri tentang kemuliaan orang-orang beriman yang berjihad di jalan Allah serta para penghafaz al-Quran.

Mayat mereka tidak reput bahkan seakan-akan baru saja ditanam. Orang-orang beriman yang mati ketika berjihad di jalan Allah akan dibangkitkan dengan keadaan mereka sama seperti keadaan semasa mereka meninggal dunia.

Terpotong telinga, hidung, kaki, tangan mahupun terburai isi perutnya. Malah darah yang menitik juga seakan-akan baru dan segar. 

Allah mengurniakan ganjaran sebesar-besarnya kepada orang yang sentiasa membaca al-Quran

Apabila kita berada dipadang Mahsyar kelak, memang tidak ada sebarang bantuan pun yang akan melindungi kita dari terik matahari yang hanya sejengkal dari kepala. Saat itu, duduklah menanti giliran ke kaunter pengadilan bertahun-tahun lamanya dengan segala macam seksaan yang amat pedih.

Namun, bagi mereka yang suka membaca al-Quran, ia akan bangkit membantu si pembacanya dengan memberikan syafaat dari merasa panas, lapar dan dahaga sepanjang menanti giliran dipanggil Allah.

Hal ini ada disebut oleh Rasulullah s.a.w.

“Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat untuk memberi syafaat kepada mereka yang membacanya.” HR Bukhari & Muslim.

Ia amat menguntungkan kita. Lebih membanggakan, ia dicemburui oleh orang-orang kafir yang terseksa merasai azab mereka. Begitulah hebatnya ganjaran yang Allah berikan kepada pembaca, penghafaz dan pengamal isi al-Quran.

Mahkota Ibu bapa

Ganjaran besar ini bukan hanya dapat dirasai oleh penghafaz al-Quran sahaja, bahkan ganjaran dan penghargaan ini turut diberikan kepada ibu bapa yang memiliki anak-anak penghafal al-Quran. Terdapat satu hadis yang menerangkan kelebihan tersebut. Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Sesiapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya, maka kedua ibu bapanya akan dipakaikan dengan mahkota pada hari kiamat di mana sinarannya lebih terang daripada cahaya matahari, walaupun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini.” HR Ahmad & Daud

Begitulah besarnya peranan al-Quran kepada umat manusia selain sebagai ‘manual book’ yang perlu dirujuk untuk membetulkan kesilapan diri serta sebagai satu kaedah penyelesaian masalah.

Al-Quran yang diturunkan oleh Allah melalui malaikat Jibril a.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w. tidak akan luput atau ketinggalan zaman sebagaimana di war-warkan oleh orang-orang kafir.

Malah sesiapa yang mengikut ‘manual book’ itu akan terselamat dari tipu daya dunia yang tidak pernah berpenghujung ini.

Sekali imbas, kenyataan di atas mungkin menimbulkan persoalan dan keresahan bagi mereka yang masih merangkak membaca al-Quran. Mana tidaknya, mungkin bertambah risau dek butanya huruf-huruf hijaiyyah.

Ambil kesempatan dalam bulan mulia ini untuk memperbanyakkan membaca al-Quran

Malah gementar kerana takut seksaan yang pedih atas sebab lalai tidak membacanya di usia muda dulu. Usah bimbang, ada juga khabar gembira buat anda yang sedaya upaya belajar membacanya walaupun gagap.

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Seseorang yang mahir membaca al-Quran akan berada bersama para malaikat yang mulia. Manakala, mereka yang membaca al-Quran dengan tersekat-sekat akan mendapat dua pahala”. HR Bukhari & Muslim

Allah sungguh adil. Bukan hanya pada orang-orang yang mahir malah untuk mereka yang baru bertatih juga diberi ganjaran. Usahlah risau jika anda tidak lancar mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran malah teruslah berusaha membacanya. Kelak, dengan izin Allah ia tetap juga menjadi pembela.

________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare