SELALUNYA yang sering kita dengar, jari dipotong disebabkan oleh penyakit atau kemalangan. Bagaimanapun, terdapat satu kaum yang menjadikan potong jari sebagai salah satu budaya mereka.

Bertempat di kawasan terpencil di Wilayah Papua, Indonesia, terdapat satu kelompok masyarakat dikenali sebagai suku Dani. Dengan anggaran jumlah seramai 250,000 orang, kaum ini mengamalkan satu budaya yang disifatkan aneh, iaitu tradisi memotong jari dalam kalangan wanita.

Tradisi ini bukan disebabkan oleh kecederaan atau penyakit, sebaliknya ia berkaitan dengan kematian. Budaya pelik ini dilakukan sebagai tanda kematian ahli keluarga atau individu tersayang seperti suami, ayah, ibu ataupun adik-beradik.

Sekiranya anda melihat wanita dari kaum ini dalam keadaan ada jari tangan yang kudung, ini bermakna mereka pernah kehilangan saudara terdekat. Bilangan jari yang dipotong adalah mengikut jumlah kematian yang dialami dalam kehidupan.

Amalan ini dilakukan sebagai simbolik kesedihan dan kekecewaan akibat pemergian saudara yang dikasihi. Kesakitan jari yang dipotong turut melambangkan kepedihan dan rasa hormat ke atas kematian yang berlaku.

Salah seorang kaum wanita suku Dani.
Mereka memotong jari apabila ada kematian dalam keluarga mereka.

Dalam tradisi ini, hanya kaum wanita yang akan memotong jari mereka. Sesetengah pendapat mendakwa, amalan ini turut dilakukan ke atas si mati. Ini bertujuan untuk memastikan sama ada mayat benar-benar sudah mati atau masih lagi bernyawa.

Jika si mati terbangun semasa jarinya dipotong, ia membuktikan bahawa jasad yang sebelumnya kaku masih lagi hidup. Namun, jika sebaliknya, mayat akan terus disemadikan mengikut kepercayaan mereka.

Terdapat beberapa kaedah bagi proses memotong jari ini. Kebiasaannya, mereka menggunakan objek tajam seperti pisau, parang dan kapak untuk memutuskan jari.

Terdapat juga objek tumpul dikenali sebagai pisau jari digunakan dalam upacara ini. Manakala, kaedah lain yang diguna pakai oleh mereka adalah dengan mengikat jari bagi tujuan mematikan bahagian berkenaan.

Pisau jari, salah satu alat yang digunakan.

Bagi mengurangkan rasa sakit, jari akan diikat ketat menggunakan tali dan dibiarkan selama 30 minit. Tujuannya untuk menjadikan jari kebas sebelum dipotong.

Untuk memotong jari ini, selalunya ia dijalankan oleh ahli keluarga. Proses ini akan terus dilakukan selagi mana berlakunya kematian dalam kehidupan mereka.

Budaya aneh ini telah ditemui secara tidak sengaja oleh seorang dermawan, Richard Archbold. Ketika penemuan tersebut, dia terlibat dalam satu ekspedisi ke wilayah ini pada tahun 1983.

Archbold yang melihat fizikal wanita tanpa jari pada masa itu merasakan budaya tersebut sebagai zalim. Namun, hal berkenaan dianggap berbeza oleh suku Dani terutamanya golongan wanita.

Bagi mereka, perlakuan tersebut dianggap sebagai satu pengorbanan. Malah, ia turut melambangkan betapa hebatnya kaum wanita suku tersebut kerana berani menjalani tradisi yang menakutkan seperti itu.

Di samping itu, adat yang dilakukan oleh suku ini tidak hanya pada pemotongan jari semata-mata. Sebaliknya, mereka turut melumur wajah sendiri dengan abu dan tanah liat semasa berlaku kematian.

Kini, difahamkan budaya pelik ini tidak lagi diamalkan oleh suku Dani. Menurut laporan, ia telah diharamkan oleh kerajaan Indonesia. Bagaimanapun, keadaan wanita tanpa jari masih lagi boleh dilihat pada golongan wanita lanjut usia yang pernah melalui tradisi ini suatu ketika dahulu.

Kewujudan budaya pelik ini bukan saja menggambarkan keunikan suku Dani, bahkan juga menarik minat umum untuk mengetahui cara hidup mereka.

Selain upacara potong jari, kaum ini juga terkenal dengan pemakaian ‘koteka’. ‘Koteka’ merupakan sejenis alat yang disarung pada zakar kaum lelaki. Kedua-dua budaya aneh ini menjadikan suku Dani terkenal sebagai masyarakat asli unik meskipun tinggal di kawasan yang terpencil.

Suku Dani.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/