Budaya hitamkan gigi. Lebih hitam, lebih menawan

Dari Penulis

Pada masa kini, semua orang mahukan gigi yang putih. Bayangkan jika gigi berwarna hitam seperti arang, sudah tentu ramai yang berasa jelik. Tetapi ramai yang tidak tahu, sebenarnya amalan mewarnakan gigi sehingga berubah warna menjadi hitam pekat telah diamalkan sejak zaman dahulu oleh sejumlah besar penduduk di pelbagai belahan dunia termasuklah Asia Tenggara, Kepulauan Pasifik bahkan di Amerika Syarikat.

Di sebalik tradisi kuno itu, Jepun sering diperkatakan sebagai negara paling lama membudayakan amalan tersebut iaitu bermula sejak ratusan tahun dahulu lagi.

Di Jepun, amalan menghitamkan gigi disebut sebagai ‘Ohaguro’. Tradisi tersebut popular dipraktikkan semasa zaman Heian, yakni fasa terakhir dalam sejarah Jepun klasik sekitar 794 hingga 1185 Selepas Masihi.

Sepanjang tempoh itu, Ohaguro sering dilakukan oleh golongan bangsawan dan sebahagian besar orang penting dalam kerajaan tanpa mengira jantina. Namun, awal sebelum itu lagi – kebanyakan golongan remaja baik lelaki mahupun perempuan, berusia sekitar 15 tahun dilaporkan berlumba-lumba menyalut gigi mereka untuk kali pertama.

Selain gigi hitam, wajah putih seperti tepung gomak juga merupakan salah satu trend yang digilai semasa zaman Heian. Solekan putih yang diperbuat daripada serbuk padi itu menyebabkan seseorang tampak lebih muda daripada usia sebenar. Untuk mengatasi masalah tersebut, golongan wanita akan mencalitkan gigi mereka dengan bahan campuran berwarna hitam, disebut ‘Kanemizu’.

Kanemizu dihasilkan daripada campuran fermentasi beras, serbuk besi dan teh. Prosesnya dimulai dengan mencampurkan fermentasi beras ke dalam 1.5 liter air suam. Campuran itu kemudian dituang ke dalam loyang besi yang telah dipanaskan dan dibiarkan selama lima hingga enam hari. Dalam tempoh itu, buih mulai terhasil kemudian diasingkan lalu dimasukkan ke dalam sebuah bekas.

Selepas dipanaskan, cairan itu akan direndam pula bersama teh dan serbuk besi. Selang beberapa ketika, larutan tersebut mulai berubah menjadi hitam pekat. Rasa pewarna ini dikatakan sangat kuat dan tidak sedap. Justeru untuk menghilangkannya, orang Jepun akan memasukkan rempah-ratus seperti kayu manis, cengkih dan bunga lawang ke dalam pewarna buatan itu.

Hasil campuran terakhir itu kemudiannya dioles pada gigi secara merata. Proses tersebut diulang sekali sehari atau selang beberapa hari. Hasilnya, gigi putih akan mulai berubah menjadi hitam.

Difahamkan, lagi kerap diwarnakan, gigi akan bertambah hitam dan kekal selamanya. Buktinya, terdapat kerangka dari zaman tersebut yang mana giginya didapati masih berwarna hitam akibat amalan Ohaguro.

Walaupun zaman Heian sudah berakhir, Ohaguro masih diamalkan sehinggalah pada zaman Edo. Era ini juga dirujuk sebagai zaman Tokugawa, bermula dari tahun 1603 hingga 1867. Dalam tempoh ini, amalan tersebut telah tersebar meluas, mulai daripada golongan aristokrat sampailah ke kelas sosial biasa.

Apa yang membezakan zaman Edo dengan beberapa era dalam sejarah Jepun yang lain ialah pengamalnya hanya terdiri dalam kalangan wanita khususnya yang sudah berkahwin. Selain itu, wanita yang belum berkahwin berumur lebih 18 tahun, pelacur dan geisha juga terlibat dalam amalan unik ini.

Menghitamkan gigi bukanlah satu perbuatan suka-suka. Bagi masyarakat Jepun, senyuman hitam sebenarnya lebih baik, malah dianggap lebih cantik dan menawan berbanding memiliki gigi putih bersih.

Bukan sahaja melengkapi simbol kecantikan, tetapi amalan itu juga dikatakan menandakan kematangan wanita. Dari sudut kesihatan pula, mereka percaya ia mampu menguatkan gigi sekali gus dapat melindungi gigi daripada sebarang kerosakan seperti buruk dan berlubang.

Tradisi itu bagaimanapun tidak bertahan lama. Pada akhir zaman Edo dan permulaan era Meiji dari Oktober 1868 sehingga Julai 1912, amalan menghitamkan gigi dilarang oleh kerajaan Meiji. Larangan itu bermula pada tahun 1870 – sebagai sebahagian daripada cubaan pihak pemerintah untuk memodenkan Jepun.

Dalam memulakan proses pemodenan, Maharaja Meiji yang memerintah Jepun selama 45 tahun telah membentuk dasar pandang ke Barat selepas hampir 200 tahun melakukan pengasingan dari dunia luar. Sejak itu, ramai orang luar datang ke Jepun. Namun, setibanya pengunjung ke Negara Matahari Terbit itu, ramai yang terkejut melihat wanitanya bergigi hitam.

Bagi Barat, gigi putih adalah cantik dan bersih. Lagi putih lagi menarik. Hal demikian menyebabkan ada yang berfikir bahawa orang Jepun memiliki tahap kebersihan mulut yang sangat buruk. Hitam dan mereput.

Sejak itu, pemerintahan Meiji mengharamkan rakyatnya daripada melakukan Ohaguro. Sejak larangan tersebut, amalan Ohaguro semakin dilupakan dalam kalangan orang Jepun.

Pada zaman moden kini, masih ada sebahagian kecil warga Jepun yang mempraktikkan Ohaguro terutama dalam kalangan geisha, sosok wanita Jepun berkimono lengkap dengan dandanan solekan putih di wajah dan berambut palsu. Geisha, sebutan yang merujuk kepada penghibur wanita tradisional Jepun ini sangat terkenal di Kyoto.

Malah sampai sekarang, geisha dengan senyuman hitam pekat ini selalu dilihat berjalan-jalan di sekitar Kyoto, ibu kota lama Jepun. Menunjukkan masih ada yang mempertahankan budaya Ohaguro tanpa mempedulikan trend bergigi putih yang dianggap lebih sihat dan menawan.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Bila nasihat tidak dihiraukan… Ayah sanggup tanam patung di kubur demi anak

“Aku cuma nak anak aku balik…” Itu luahan seorang ayah yang akhirnya menyesal seumur hidup selepas memilih jalan salah demi...

More Articles Like This