BERITA dua rakyat Malaysia yang dihalau daripada memasuki Jerman semalam disebabkan mereka telah mengambil vaksin yang berbeza antara vaksin utama dan booster adalah kejadian yang amat malang.
Menurut laporan akhbar, kedua-dua beradik tersebut telah disuntik oleh dua dos Sinovac sebagai suntikan utama dan Pfizer untuk suntikan booster, yang mana Jerman adalah antara negara di Eropah yang tidak mengiktiraf Sinovac sebagai vaksin rasmi pencegahan COVID-19.
Akibatnya, mereka yang tiba bersama ibu bapa di Jerman ketika hendak melancong ke negara itu ‘dihalau seperti penjenayah’ apabila diiiringi oleh pegawai keselamatan untuk menaiki penerbangan seterusnya untuk kembali ke Malaysia.
Sebenarnya mereka bukan dihalau dari Jerman kerana mengambil campuran vaksin berbeza tetapi kerana mengambil vaksin Sinovac yang tidak diiktiraf oleh negara tersebut, kecuali vaksin Pfizerr ketika mengambil booster.
Ini kerana Jerman merupakan antara negara yang kuat mempromosikan penggunaan campuran vaksin yang diiktiraf mereka seperti Moderna, Astra Zeneca (AZ), Pfizer dan sebagainya dalam melindungi rakyat mereka.
Menurut laman web https://www.covidpasscertificate.com/, hanya ada beberapa negara di Eropah yang mengiktiraf vaksin Sinovac seperti Austria, Cyprus, Finland, Greece, Iceland, Netherlands, Sepanyol, Sweden dan Switzerland.
Negara-negara selain daripada itu ‘tidak’!
Sudah tentu, mulai 1 April ini apabila kerajaan melaksanakan dasar buka sempadan, akan berpusu-pusu rakyat Malaysia mengambil kesempatan untuk melancong ke Eropah dan akibatnya setiap hari akan ada rakyat Malaysia ‘dihalau’ dari negara-negara yang tidak mengiktiraf Sinovac.
Manakala, untuk mereka yang hendak melancong ke United Kingdom tentu tiada masalah kerana difahamkan negara itu tidak lagi menguatkuasakan syarat perlu vaksin untuk memasuki negaranya.
Berbalik kepada isu rakyat Malaysia yang dihalau dari kebanyakan negara-negara di Eropah kerana disuntik Sinovac, seharusnya, kerajaan memberi penjelasan terperinci mengenai masalah tersebut kepada semua rakyat Malaysia.
BERITA BERKAITAN Lebih 2 juta penerima vaksin Sinovac mungkin hilang status vaksinasi lengkap
Kita semua tahu kerajaan terpaksa segera membeli dan memberikan vaksin Sinovac ketika permulaan Covid-19 melanda negara bagi memberikan perlindungan secepat mungkin kepada rakyat.
Ketika itu, bekalan vaksin-vaksin terkenal seperti Pfizer atau AZ yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia sukar diperolehi oleh negara-negara kecil termasuk Malaysia, Indonesia dan sebagainya yang menyebabkan vaksin dari negara China adalah pilihan yang ada.
Vaksin Sinovac hanya merupakan vaksin yang diiktiraf oleh WHO sebagai vaksin kegunaan kecemasan, manakala banyak negara-negara langsung tidak mengiktirafnya.
Bagaimanapun, perkara tersebut telah berlalu dan kita tidak dapat merubah masa. Apa yang penting kini kerajaan sama ada Kementerian Luar atau Kementerian Kesihatan perlu memikirkan langkah terbaik bagi memastikan tiada lagi insiden rakyat Malaysia dihalau selepas ini kerana hanya masalah vaksin.
Jika dihalau kerana masalah penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan lain-lain jenayah tentu tidak mengapa. Ini dihalau kerana divaksin Sinovac!
Bagi penulis, sememangnya sukar untuk kita merubah peraturan atau undang-undang negara lain tetapi apa yang perlu difikirkan bagaimanakah kerajaan hendak memastikan rakyat Malaysia telah ‘mematuhi’ syarat-syarat memasuki negara yang tidak mengiktiraf Sinovac tersebut.
Sebagai contoh, mungkin kerajaan boleh menawarkan suntikan dos keempat atau booster kedua kepada mana-mana rakyat Malaysia yang hendak melancong ke Eropah dengan vaksin yang diiktiraf oleh mereka.
Bagaimanapun, jenis vaksin booster kedua itu seharusnya sama dengan vaksin booster diambil sebelum ini bagi mengelakkan lagi masalah apabila rakyat ini melancong ke luar negara seperti April ini. Jangan lagi tawarkan Sinovac!
Kecualilah ada sekumpulan kecil rakyat yang sememangnya sukan mendengar cerita bukan-bukan dan hanya ‘inginkan Sinovac’ dalam tubuh mereka dan sedia menghadapi apa sahaja masalah apabila ke luar negara kelak.
Ketua pegawai eksekutif Pfizer, Albert Bourla juga baru-baru ini menyarankan pengambilan booster kedua untuk memastikan penduduk dunia terus ‘dilindungi’ daripada menerima kesan kesihatan yang teruk dan memerlukan rawatan hospital apabila dijangkiti Covid-19.
Jika kerajaan mempunyai masalah peruntukan untuk melaksanakan suntikan dos keempat dengan percuma, pengambilan vaksin itu juga boleh dikenakan bayaran minima yang sudah tentu akan disambut baik oleh mereka yang telah mula merancang untuk melancong ke luar negara.
Bagi Kementerian Luar dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, ‘buatlah kerja sedikit’ dengan memberi penerangan dan maklumat mencukupi bagi bakal-bakal pengembara mengenai kemungkinan atau kesan yang mereka akan hadapi apabila ingin memasuki negara tertentu yang ‘anti-Sinovac’.

