KERAJAAN MADANI memperkukuh komitmen dalam melindungi keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan mental rakyat melalui Sesi Persidangan Meja Bulat (Round Table Discussion) Pelaporan Media Selamat Berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri.
Ia dipengerusikan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Komunikasi dan The Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF) itu memfokuskan kepada pembangunan garis panduan kandungan serta pelaporan selamat dalam persekitaran media dan platform digital.
Dalam kenyataan bersama KKM dan Kementerian Komunikasi, sesi dialog yang julung kali diadakan tersebut berjaya menghimpunkan kepimpinan kerajaan bersama ketua pengarang, badan industri dan pengamal media serta rakan strategik.
“Kolaborasi ini membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu kesihatan mental serta keselamatan awam secara holistik, merentas kementerian dan sektor,” jelas kenyataan bersama itu.
Menurutnya, dalam era digital hari ini, komunikasi menerusi media memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi, mengurangkan stigma serta menggalakkan masyarakat tampil mendapatkan bantuan demi kesejahteraan bersama.
Katanya, sesi tersebut turut menyaksikan pemeteraian Ikrar Media Malaysia oleh wakil organisasi media dan badan kewartawanan iaitu Majlis Media Malaysia (MMM), Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) serta National Union of Journalist Malaysia (NUJ).
Langkah ini menjadi lambang komitmen kolektif industri media dalam memperkukuh amalan pelaporan yang selamat, beretika dan bertanggungjawab berkaitan isu tingkah laku bunuh diri.
“Sesi ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Program MySAVE (Malaysia Suicide Awareness Voice of Hope) melalui pendekatan mengutamakan kepentingan kesihatan awam, selari dengan hasrat pimpinan kerajaan menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera dalam semua aspek, termasuk kesihatan mental.
“Kerajaan turut menegaskan sokongan berterusan terhadap amalan pelaporan media yang mematuhi prinsip keselamatan, empati dan tanggungjawab sosial, tanpa menjejaskan kebebasan media sebagai tonggak penting masyarakat demokratik,” katanya.

