KERANDA biasanya merujuk kepada tempat menyimpan mayat sebelum dikebumikan. Ia dianggap sebagai ‘kenderaan’ terakhir seseorang untuk ke dunia lain.
Dalam konteks sosio budaya, keranda membawa pengertian yang berbeza-beza mengikut kepercayaan dan adat resam. Selain menzahirkan status atau kedudukan seseorang, keranda juga berfungsi dalam menyatakan penghormatan kepada roh-roh nenek moyang dan semangat yang berkaitan.
Di Malaysia, budaya dan tradisi pengebumian secara keranda ini telah bermula sejak berabad yang lalu dan sebahagian kecil masyarakat di pendalaman masih mengamalkannya.
Penemuan arkeologi menunjukkan masyarakat Hoabinhian yang mengamalkan budaya memburu dan mengumpul adalah masyarakat pertama di negara ini menjalankan upacara pengebumian, iaitu kira-kira 13,000 tahun dahulu.
Berdasarkan peninggalan kubur-kubur lama yang ditemui di Gua Cha, Kelantan dan Gua Gunung Runtuh, Perak, masyarakat ini sudah pun mempunyai upacara tertentu dalam menguruskan mayat.

Bukti-bukti arkeologi menunjukkan masyarakat awal ini mengebumikan seseorang dengan pelbagai cara. Antaranya menanam secara melengkung, mengiring atau terlentang dengan lutut si mati dibengkokkan sehingga bahagian lutut akan bertemu dagu.
Mayat akan diikat dengan kemas menggunakan akar-akar kecil supaya tubuhnya tidak terlerai. Posisi ini sama seperti kedudukan bayi semasa berada di dalam kandungan ibunya. Ini berdasarkan kepercayaan bahawa si mati akan dilahirkan semula ke dunia lain setelah dikebumikan.
Selepas masyarakat Hoabinhian, masyarakat nomad yang mendukung budaya Neolitik pula menguasai sebahagian besar kawasan di Malaysia. Masyarakat ini pakar dalam menghasilkan barang-barang dari tanah liat seperti tembikar. Sifat-sifat semula jadi tembikar yang mudah dibentuk dan tahan lama menjadikan ia sebagai bahan yang amat penting dan bernilai tinggi dari segi emosi, ritual dan spiritual.

Dari segi kepercayaan, masyarakat ini menganggap tembikar sebagai bahan yang suci dan istimewa. Ia dijadikan simbolik barangan peribadi yang ditanam bersama-sama mayat untuk digunakan oleh roh si mati dalam perjalanannya ke dunia akhirat.
Bentuk dan ragam hiasnya bergantung kepada kemampuan si mati menyediakannya sebelum meninggal dunia, dan ia juga menentukan kedudukan dan status individu dalam kelompok masyarakat tersebut. Budaya ini berterusan hingga ke zaman logam iaitu antara 1000 tahun ke 8000 tahun silam.
Penemuan ini membuktikan wujudnya kelas-kelas sosial dalam masyarakat yang akhirnya membentuk satu entiti bangsa yang lebih tersusun.
Kubur batu kepingan atau cist pula merupakan amalan yang dilaksanakan oleh masyarakat pesisir pantai di Lembah Bernam, Perak terutamanya di Sungkai, Changkat Mentri dan Slim River.
Teknik pengebumiannya adalah dengan cara si mati di letakkan di atas tanah dan kepingan-kepingan batu granit disusun bertindih menyerupai kubur, di mana bahagian kepalanya dibentuk lebih lebar daripada bahagian kaki.
Walaupun tiada rangka manusia ditemui di dalam kubur ini, tetapi ahli arkeologi menemui bahan-bahan perhiasan kubur ditanam seperti periuk tembikar, manik-manik kaca, batu serta alat-alat besi. Bukti ini menunjukkan amalan budaya kubur batu kepingan dipercayai wujud pada zaman logam, kira-kira 300 tahun sebelum Masihi.
Selepas itu, budaya pengebumian manusia terus berkembang. Masyarakat proto sejarah pula menjadikan perahu sebagai pusara. Ini disebabkan pada era tersebut, perahu merupakan kenderaan penting yang menghubungkan masyarakat pedalaman dengan masyarakat pesisir pantai. Keadaan ini menjadikan perahu sebagai elemen utama dalam bentuk spiritual kerana ianya dianggap sebagai pengangkutan simbolik yang menghubungkan dunia nyata ke alam lain.
Upacara pengebumian perahu mempunyai dua cara yang berbeza. Masyarakat proto sejarah di Kuala Selinsing, Perak, meletakkan mayat di dalam perahu bersama-sama periuk tembikar dan barang-barang perhiasan seperti manik kaca dan batu. Kemudian, perahu ini akan dihanyutkan di sungai.
Bagi masyarakat proto sejarah di Gua Niah pula, mereka menjalankan upacara pengebumian dengan meletakkan mayat di dalam perahu bersama-sama barang perhiasan, dan kemudian disimpan di dalam gua batu kapur. Mayat ini dibiarkan reput sendiri begitu sahaja.
Apa yang menarik, dinding-dinding di dalam gua tersebut akan dihiasi dengan lukisan dari bahan hematite berwarna merah. Sebahagian besar lukisan yang dihasilkan menggambarkan pengembaraan roh-roh bersama pengiringnya ke dunia akhirat.

Selain itu, upacara pengebumian tempayan juga pernah dijalankan di Kepulauan Melayu, khususnya masyarakat pelaut dan pesisir pantai. Kaedah yang digunakan untuk upacara pengebumian ini ialah menjadikan tempayan tembikar sebagai tempat menyimpan mayat atau tulang-tulang manusia.
Tempayan itu akan disimpan atau disorokkan di tempat-tempat tersembunyi seperti di gua-gua batu atau di celah-celah banir pokok. Tempayan akan direka khas dengan bentuk-bentuk yang unik serta dihias dengan cantik, yang menggambarkan pengembaraan roh ke alam akhirat.
Pengebumian cara ini juga mempunyai dua cara yang berbeza. Pertama, menyimpan terus mayat ke dalam tempayan tanah bersama barang iringan seperti alat-alat perkakas, perhiasan diri dan tembikar tanah, sebelum ianya disimpan di dalam gua.

Cara yang kedua pula ialah mayat-mayat yang mengalami proses pereputan akan diambil tulang-temulang mereka dan diletakkan di dalam tempayan tersebut.
Ia kemudian akan disimpan ke dalam tempat yang telah dipilih sebagai tanah perkuburan. Kawasan perkuburan ini selalunya dipilih khas dan agak tersembunyi serta dianggap suci.
Di Malaysia, amalan perkuburan tempayan ini banyak ditemui di dalam gua-gua batu kapur di Sarawak dan di Sabah. Di Semenanjung Malaysia pula, tapak pengebumian tempayan telah ditemui di Gua Tuba, Pulau Tuba, Langkawi.
*Penghargaan : Jabatan Muzium Malaysia
_________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/

