KISAH ini berlaku pada tahun 2004, ketika aku berusia awal-20an. Ketika itu, aku bersama dua orang rakan menyewa sebuah rumah teres kos rendah di sebuah taman perumahan di Selangor.
Ada suatu malam tu, kebetulan hanya aku seorang yang berada di rumah. Rakan yang lain semua kerja syif malam.
Malam itu ketika sedang tidur, aku terjaga. Spontan bila aku menoleh ke arah tingkap bilik, nampak seperti ada kelibat seakan bayangan seseorang melintas.
Pada mulanya, aku tak peduli sangat. Tapi, beberapa saat kemudian, sekali lagi kelibat itu melintas. Kali ini, ‘dia’ berjalan laju di luar tingkap bilik aku.
Aku mula syak, mungkin pencuri. Terus aku ambil sebatang kayu panjang di bawah katil yang memang aku simpan kalau ada sebarang situasi cemas.
Perlahan-lahan aku mendekati tingkap untuk mengintai kelibat yang aku sangka pencuri itu. Beberapa minit jugak aku tunggu, tapi tak ada pula kelibat orang yang lalu seperti tadi.
Aku terus keluar bilik dan ke ruang tamu. Aku periksa kalau-kalau ada barang yang hilang, mana lah tau kalau-kalau ada pencuri masuk rumah. Elok saja dalam rumah, tak ada apa yang hilang. Juga tiada tanda pencuri masuk. Habis, siapa yang melintas di tepi bilik aku tadi?
Malas nak fikir panjang, aku masuk bilik nak sambung tidur. Tapi, belum sempat tarik selimut, sekali lagi kelibat tadi melintas semula di tepi tingkap bilik aku.
Aku terus jerit, “Hoi!! Siapa tu?”
Geram pulak aku dibuatnya. Siapa pulak yang sengaja lalu lalang di belakang rumah aku. Bilik aku terletak di bahagian belakang rumah. Sebelum ini pernah juga ada budak-budak nakal suka bermain di kawasan belakang rumah aku lewat malam. Itu yang aku tak suka.
Ah, lantaklah siapa pun. Aku nak tidur, esok kerja pagi. Mata memang mengantuk. Aku tengok jam, dah hampir pukul 2.00 pagi.
Elok je aku rebahkan badan atas katil, kelibat orang melintas tadi muncul semula. Tapi yang anehnya kali ini, ‘dia’ bukan lagi berjalan tetapi nampak seperti terawang-awang terbang.
Apa yang buat darah aku berderau bila kelibat tu elok berhenti di tingkap aku dan terawang-awang. Aku tak nampak jelas bagaimana rupanya sebab tingkap tertutup. Tapi nampak la bentuk makhluk itu yang terawang-awang dan seperti sengaja berhenti di tingkap sebab nak perhatikan aku. Sekali lihat bentuknya seakan macam ‘Cik Ponti’.
Masa tu aku dah mula takut. Terus aku baca apa saja ayat suci yang terlintas dalam kepala. Tak berani aku tatap tingkap bilik tu. Beberapa minit kemudian bila aku lihat semula, bayang makhluk itu sudah tiada.
Apa lagi, aku tarik selimut dan mengiring ke kanan, membelakangkan tingkap. Tak berani aku nak pandang tingkap tu, seram!
Baru aku cuba hendak lelapkan mata, tiba-tiba aku terdengar bunyi perempuan menjerit. Mula-mula aku buat tak tahu, tapi makin lama suara jeritan itu kian kuat. Bila aku amati, suara itu datang dari arah rumah jiran aku.
Suara jeritan tu pulak lain macam bunyinya. Lantang dan agak menyeramkan. Tegak la bulu roma aku mendengarnya.
Lepas itu aku mula dengar suara bising-bising di luar rumah. Aku terus bangun dan keluar membuka pintu, cuba mengintai apa yang sedang berlaku.
Rupa-rupanya, suara jeritan tu datang dari rumah jiran yang hanya selang dua rumah dari rumah aku. Suara perempuan yang menjerit tu pula adalah anak jiran aku tu, baru berusia 15 tahun.
Masa tu agak kecoh di perkarangan rumah jiran aku tu. Beberapa orang jiran pun keluar melihat apa yang berlaku. Masa tu, aku pun ikut sekali keluar nak tengok apa yang terjadi.
Aku nampak anak perempuan jiran aku tu terjerit-jerit dan berlari ke sana ke mari tanpa punca. Dengan bantuan jiran, ayahnya berjaya menangkap anaknya itu.
Masa tu, ayah budak perempuan tu minta bantuan salah seorang penduduk pergi panggilkan seorang ustaz di kawasan kejiranan kami.
Apa yang dahsyat, punyalah kuat tenaga budak perempuan tu. Walau dipegang oleh ayah dan abangnya, dia boleh meronta kuat sampai mampu kalahkan tenaga dua lelaki untuk lepaskan diri.
Paling aku ingat bila lihat wajah budak perempuan tu, matanya merah terjegil, pandangannya tajam. Memang menakutkan, bagai ada sesuatu yang merasuk badannya.
Bila budak perempuan tu berjaya lepaskan diri, dia lari ke arah belakang rumahnya sambil ketawa mengilai. Dia masuk ke dalam stor dan mengunci pintu dari dalam.
Puas dipujuk, dia tak mahu buka pintu. Hanya suaranya saja kedengaran sekejap ketawa, sekejap menjerit-jerit.
Tak lama kemudian, ustaz yang dipanggil sampai. Setelah diberitahu apa yang berlaku, ustaz itu terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci di depan pintu stor itu.
Lebih kurang 10 minit kemudian, akhirnya budak perempuan itu membuka pintu. Wajahnya ketika itu nampak lemah dan kusut masai. Dia tak tahu pun apa yang telah berlaku. Sedar-sedar katanya, dia ada dalam bilik stor itu.
Aku sempat dengar cerita ayah budak itu bila ustaz tersebut bertanya apa yang berlaku sebelumnya.
Menurut ayahnya, sekitar pukul 2.00 pagi, anak perempuannya itu pergi ke dapur seorang diri hendak minum air. Tidak lama kemudian, mereka sekeluarga dikejutkan dengan suara anak perempuannya yang terjerit-jerit, sebelum membuka pintu dan berlari keluar rumah.
Bila mendengar cerita ayahnya itu, aku mula terfikir. Suara jeritan anaknya itu terdengar tidak lama selepas aku melihat makhluk yang asyik melintas sebelum terapung-apung di tepi tingkap bilik aku.
Agaknya, adakah makhluk yang sama telah merasuk anak jiran aku itu?
**Diceritakan oleh Bob Hakim dari Selangor.
_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/

