ANDA sudah sikat rambut? Dalam sehari, berapa kali anda menggunakan sikat? Tak kiralah sama ada menyikat rambut sendiri, atau rambut anak-anak.

Tanpa kita sedar, sikat rambut antara alat yang kita gunakan setiap hari. Tahukah anda, sejak bila manusia menggunakan sikat untuk menyisir rambut?

Agak sukar untuk mengesan siapa sebenarnya pencipta asal sikat rambut ini. Namun, berdasarkan bukti-bukti peninggalan yang ada, sikat rambut dianggarkan sudah wujud sekitar 3,000 tahun Sebelum Masihi.

Antara sikat zaman purba.

Pada awalnya, sikat dipercayai digunakan untuk upacara keagamaan. Ia berdasarkan kepada ukiran-ukiran haiwan seperti gajah dan ular yang terdapat pada badan sikat.  Haiwan-haiwan ini sering dikaitkan dengan penciptaan alam semesta dalam kepercayaan Afrika kuno.

Berbeza dengan di China, sikat pada mulanya dicipta untuk memudahkan kerja membuang kutu rambut yang terdapat di atas kepala. Ia digunakan tanpa mengira darjat, miskin mahupun kaya. Antara sikat lama yang pernah dijumpai diperbuat daripada material seperti kayu dan juga gading gajah.

Masa berlalu, pembaharuan yang dilakukan pada sikat menjadikannya semakin cantik dan dekoratif, seperti apa yang boleh dilihat di Jepun sewaktu awal penciptaan sikat.

Penggunaan sikat dikembangkan pula sebagai aksesori rambut wanita. Masih terdapat kepercayaan agama yang menggunakan sikat ketika acara formal seperti majlis perkahwinan dan sebagainya.

Sikat di Jepun turut dijadikan perhiasan rambut.

Sikat terus menjadi kegunaan untuk merapikan rambut dan mengalami inovasi seiring dengan peredaran zaman. Kini, ia digunakan oleh semua orang tanpa mengira jantina dan usia.

Kini terdapat pelbagai jenis sikat yang boleh dipadankan dengan kesesuaian penggunanya. Malah, ada yang dikhaskan untuk menyikat rambut kerinting, rambut lurus, dan pelbagai kegunaan khas yang lain.

Ops… satu lagi fakta. Bagi kaum lelaki, membawa sikat rambut juga adalah amalan sunah kerana Nabi Muhammad s.a.w. sering membawa sikat ke mana sahaja untuk merapikan rambut Baginda.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/