JIKA anda pernah menonton filem ‘V for Vendetta’, pasti perasan watak yang menggunakan karakter topeng ini. Topeng ini bukanlah asing. Ramai orang biasa melihatnya.
Selain dalam filem, topeng ini juga sering digunakan dalam perarakan, protes malah juga popular dijadikan meme Internet.
Kebiasaannya pada bulan November, kebanyakan kota-kota besar di benua Eropah akan bergegar dengan dentuman dan percikan bunga api yang menghiasi langit malam. Ia adalah petanda bahawa ulang tahun tragedi Gunpowder Plot kembali diraikan oleh sebahagian masyarakat Eropah.
Apa itu Gunpowder Plot dan apa kaitannya dengan topeng ini?

Jika ditanya kepada generasi muda Inggeris, kebanyakan mereka tidak tahu kisah sebenar di sebalik perayaan ini kerana peristiwa tersebut telah lama berlaku. Rata-rata mereka hanya merayakannya mengikut tradisi yang telah dilakukan sejak turun-temurun.
Ulang tahun tragedi ini sebenarnya telah diraikan sejak lebih empat abad yang lalu. Sejarahnya agak panjang, yang mana ia berkisar tentang dua kelompok berbeza yakni golongan pemerintah yang ditentang oleh sebahagian kecil rakyat yang memberontak.
Dari satu sudut, tragedi Gunpowder Plot menceritakan tentang peristiwa pembelotan kepada raja. Manakala dari satu sudut yang lain, ia turut dikisahkan tentang penindasan agama, perjuangan serta kekejaman yang berlaku pada ketika itu.
Kemuncak peristiwa tersebut berlaku pada 5 November 1605, yang mana sekumpulan pemuda telah berkomplot untuk membunuh Raja King James I dan anggota parlimen Inggeris ketika itu.

Perancangan yang dibuat ialah dengan meletakkan setengah tan bahan peledak di bawah bangunan parlimen ketika hari persidangan. Tujuan utama adalah untuk membunuh raja dan ahli parlimen, kemudian mengembalikan semula kegemilangan sistem monarki Katolik dan membubarkan sistem parlimen. Selain itu, ia juga bertujuan untuk melonggarkan pengaruh kerajaan Sepanyol atas segala urusan yang berlaku di England.
Namun, komplot yang digelar Gunpowder Plot itu berjaya dihidu oleh pihak berkuasa dan mereka berjaya menahan seorang lelaki bernama Guy Fawkes bersama tujuh orang rakannya yang ketika itu sedang menyusun bahan-bahan letupan di bawah bangunan parlimen. Kesemua mereka telah ditangkap hidup-hidup.

Seorang hakim bernama John Popham telah didatangkan khas ke London untuk mengadili kes ini. Guy Fawkes bersama rakan-rakannya telah didapati bersalah atas tuduhan pengkhianatan kepada raja dan kesemua mereka dihukum mati.
Pelaksanaan hukuman itu dilakukan dengan kejam dan telah menjadi buah mulut di segenap pelosok kota London. Mereka akan digantung tetapi tidak dibiarkan mati. Kemudian perut mereka dipotong dan sebahagian isi perut dikeluarkan dalam keadaan masih hidup. Selepas itu, tangan dan kaki mereka pula dipotong dan yang terakhir sekali kepala mereka akan dipenggal.
Hukuman itu dijalankan bertujuan untuk memberi pengajaran betapa beratnya hukuman yang diterima mereka. Dalam masa yang sama, hukuman itu juga adalah untuk memberi amaran kepada rakyat bawahan supaya tidak mengkhianati pihak pemerintah.

Setahun selepas kejadian itu, pihak pemerintah iaitu keluarga diraja dan anggota parlimen telah meraikan hari kematian Guy Fawkes dan rakan-rakannya itu dengan pesta besar-besaran. Sambutan itu dilakukan saban tahun, dan ia bertujuan untuk mengingatkan rakyat bahawa pengkhianatan tidak akan pernah dilupakan di Inggeris.
Di kalangan puak bawahan pula, terdapat dua kumpulan yang berbeza pendapat. Sebahagiannya menyokong pemerintahan beraja, manakala sebahagian lagi mengagumi dan menyanjung keberanian Guy Fawkes dan rakan-rakannya menentang penindasan.
Sehingga pada satu tahap, topeng yang memaparkan mimik muka Guy Fawkes telah direka bentuk dan mereka turut memakainya pada malam ulang tahun tragedi Gunpowder Plot. Topeng dengan wajah lelaki berkumis nipis itu telah dijadikan sebagai simbol penentangan terhadap penindasan golongan pemerintah.


Bermula di England, perayaan itu kemudiannya disambut di kebanyakan negara lain di Eropah. Tradisi tersebut dirayakan secara besar-besaran bagi mengingati peristiwa bersejarah itu.
Ternyata, pengaruh keberanian Guy Fawkes sebenarnya telah menyuntik semangat kebangkitan rakyat untuk menentang kezaliman. Malah, dalam siri Revolusi Inggeris 1688 yang melibatkan pertikaian di antara tuan tanah dan keluarga diraja, semangat Guy Fawkes terus diserap oleh golongan bawahan untuk menentang sikap tamak golongan bangsawan.
Daripada seorang pembelot dan pengkhianat, nama Guy Fawkes telah diangkat menjadi seorang wira. Ia terbukti apabila berlakunya beberapa siri demonstrasi di Eropah sekitar abad ke-18, ke-19 dan ke-20, topeng lelaki ini telah dipakai oleh kebanyakan penunjuk perasaan.
Malah, gerakan Occupy yang berlaku di Amerika Syarikat pada tahun 2011, ‘wajah’ lelaki ini masih berkeliaran di segenap pelosok kota New York.
Sehingga kini, Guy Fawkes masih terus dikenali dan dikenang oleh sebahagian masyarakat dunia. Bukan kerana pembelotannya terhadap raja, tetapi dia dikenang kerana keberanian dan perjuangannya menentang puak pemerintah yang menindas.


________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/

