LAPORAN Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera akan dibentang dalam sidang Dewan Rakyat Julai ini GAMBAR HIASAN: Abd Razak Aid

APLIKASI MySejahtera merupakan hak milik kerajaan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dilantik sebagai pemilik utama untuk pengurusan kesihatan awam negara.

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan, kerajaan tidak pernah menjual aplikasi tersebut kepada mana-mana syarikat swasta.

Menurut Khairy, kerajaan juga tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada syarikat KPISOFT (M) Sdn. Bhd. yang telah membangunkan aplikasi MySejahtera sepanjang tempoh penggunaan aplikasi itu dari 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021.

Katanya, perkara itu adalah berdasarkan ketetapan syarikat yang telah menawarkan penggunakan aplikasi tersebut kepada kerajaan untuk tempoh setahun tanpa sebarang bayaran berdasarkan prinsip tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

Pada masa sama, Khairy turut memberi jaminan bahawa data awam dalam MySejahtera tidak boleh dikongsi olah KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahu pun swasta.

Beliau berkata, segala pengurusan data akan melalui proses tadbir urus data yang telah ditetapkan KKM.

Menteri Kesihatan, khairy Jamaluddin GAMBAR: Abd Razak Aid

“Dalam hal ini, penggunaan dan pengurusan data MySejahtera perlu mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa.

“Selain itu, transaksi data daripada aplikasi MySejahtera dimuat naik ke jaringan pelayan awam setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaan aplikasi itu sahaja.

“KKM berharap orang ramai akan terus menggunakan aplikasi MySejahtera tanpa ragu-ragu.

“Kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Buka sempadan: Pengembara perlu muat turun MySejahtera, jalani RTK-Ag selepas tiba di Malaysia

Mengulas lanjut, Khairy berkata, setelah tamat tempoh CSR tersebut, kerajaan pada 31 Mac 2021 telah bersetuju supaya perkhidmatan aplikasi itu diteruskan kerana keteguhan dan keupayaan dinamik teknologinya.

Jelas beliau, keputusan kerajaan pada 26 November lalu juga turut menetapkan supaya KKM menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga dengan keahlian yang terdiri daripada agensi pemegang taruh berkaitan untuk melaksanakan rundingan harga perolehan dan pengurusan perkhidmatan dengan pihak syarikat untuk tempoh dua tahun.

“Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 28 Februari lalu telah bersetuju meluluskan permohonan KKM untuk melaksanakan perolehan bagi pengurusan aplikasi MySejahtera dan dimuktamadkan di peringkat Kementerian Kewangan.

“Proses rundingan ini telah dimulakan dan KKM akan memastikan due diligence dilakukan bagi memelihara kepentingan kerajaan,” jelas ebliau.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan medianya semalam mahu kerajaan memberi penjelasan berhubung keputusan menjual aplikasi MySejahtera kepada syarikat swasta berbanding membenarkan aplikasi itu berada di bawah kawal selia KKM.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan tidak menjual aplikasi itu secara tender terbuka, selain mahu alasan diberikan di sebalik pemilihan MySJ Sdn Bhd menjadi satu-satunya syarikat yang ditimbangtara bagi tujuan itu.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkata penjualan aplikasi terbabit kepada syarikat swasta hanya menimbulkan kebimbangan tentang pengurusan data peribadi dan kemungkinan wujudnya penyalahgunaan maklumat kesihatan jutaan rakyat Malaysia.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram