JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan solat berjemaah di masjid, surau dan musolla tanpa penjarakan fizikal berkuat kuasa 1 April ini sejajar dengan Fasa Peralihan ke Endemik COVID-19.
Perkara itu diputuskan selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, Sultan Sharafuddin telah berkenan membuat penelitian dan memperhalusi beberapa perkara penting terutama langkah-langkah mengelakkan kesan mendalam akibat jangkitan COVID-19.
Pada masa sama, kata beliau, Sultan Selangor juga berkenan memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara serta masjid, surau dan musolla terus berfungsi sebagai pusat ibadah bagi umat Islam di Selangor.
Menurut beliau, jemaah yang hadir perlu mengikuti empat ketetapan termasuk lengkap menerima dos vaksinasi COVID-19; membawa sejadah sendiri dan sentiasa memakai pelitup muka.
Selain itu, individu yang berumur 18 tahun ke bawah dan telah lengkap menerima dua dos vaksin sahaja dibenarkan hadir di samping individu bergejala diminta menangguhkan daripada menghadiri sebarang aktiviti di masjid, surau dan musolla.
Baca artikel berkaitan: Kelantan benar saf solat rapat, jamuan buka puasa secara bungkus
“Sultan Selangor juga telah berkenan solat tarawih diadakan di semua masjid, surau dan musolla di seluruh negeri.
“Solat tarawih juga dikekalkan untuk dilaksanakan dengan 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan.
“Semua aktiviti lain melibatkan masjid, surau dan musolla serta aktiviti sepanjang bulan Ramadan di seluruh Selangor juga boleh dilaksanakan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Shahzihan berkata, Sultan Sharafuddin turut menasihatkan rakyat Selangor supaya berhati-hati dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengikuti semua arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dari masa ke semasa.
“Sultan Selangor masih bimbang kerana penularan COVID-19 masih tinggi di Selangor dengan jumlah kematian sehingga 19 Mac lalu adalah seramai 10,413 orang, lebih 50 peratus daripadanya merupakan Melayu,” jelasnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

