SEJAK ratusan tahun lalu, ramai saksi melaporkan telah melihat bebenang putih seperti jaring labah-labah menghujani bumi. Apabila disentuh, ia hilang begitu saja di udara.
Fenomena aneh tersebut dikenali sebagai ‘Angel hair’ (rambut malaikat). Dikatakan ia telah muncul sejak abad ke-16. Dalam buku berjudul ‘The Natural History of Selbourne’ yang diterbitkan oleh Gilbert White pada kurun ke-18, beliau telah menulis tentang keanehan fenomena ini.
Dalam tulisannya itu, Gilbert menyatakan bahawa hujan benda putih aneh persis sarang labah-labah ini telah terjadi di ladang jagung miliknya. Bebenang putih itu agak melekit dan mempunyai ukuran antara lima hingga enam inci. Ia jatuh dengan kadar yang cepat seperti hujan dan tidak melayang-layang – menandakan ia lebih berat daripada udara di atmosfera.
Selepas Gilbert menceritakan kisah tersebut, fenomena serupa mula dilaporkan di tempat-tempat lain. Pada Oktober 1820, bebenang seperti sutera dilaporkan jatuh di Pernambuco, Brazil, yang menutupi wilayah seluas 90 kilometer persegi.
Selepas itu pada tahun 1881, dilaporkan bebenang putih seperti sarang labah-labah telah menghujani bumi Green Bay di Wisconsin, Amerika Syarikat. Bebenang ini agak panjang, malah ada ukurannya yang mencecah 60 kaki.


Penemuan fenomena Angel’s Hair boleh dikatakan pernah terjadi di seluruh dunia termasuk di benua Amerika, Eropah, Australia dan juga Asia. Walaupun laporan mengenai penemuan ini telah dicatatkan sejak berabad lalu, namun tidak banyak huraian mengenainya.
Pada tahun 1952, orang-orang di Oloron, Perancis mula mengaitkannya dengan kemunculan UFO. Penduduk-penduduk tempatan di sekitar Oloron mendakwa telah melihat objek berbentuk silinder yang melintasi langit.
Objek tersebut telah diiringi oleh 30 objek bulat yang lebih kecil ukurannya. Kemudian mereka melihat objek-objek tersebut mengeluarkan bebenang seperti sarang labah-labah yang berwarna putih jatuh seperti hujan.
Bebenang itu tersebar ke merata tempat. Ia bertebaran di atas pokok, atap rumah serta di perkarangan rumah mereka. Apa yang menghairankan ialah ketika disentuh, objek tersebut berubah bentuk seperti gelatin atau lateks yang kemudiannya menghilang begitu sahaja. Sepuluh hari selepas itu, penduduk di Galliac, Perancis pula mengalami situasi yang sama.

Dalam kebanyakan kes, ahli akademik mengalami masalah untuk mengkaji ‘rambut malaikat’ ini kerana sifatnya yang mudah terurai. Namun pada tahun 1954, sejemput bahan itu berjaya diambil dan ia kemudiannya dihantar ke Institut Analisis Kimia, University of Florence. Orang yang bertanggungjawab membuat analisa tersebut ialah Profesor Danilo Cozzi.
Daripada kajian itu beliau mendapati bahawa ia adalah sejenis bahan yang berserat. Ketika dipanaskan, warnanya akan berubah menjadi hitam dan meninggalkan sisa lut sinar mudah terwap di udara. Manakala dari segi kandungannya pula Prof Cozzi telah menemui unsur boron, silikon dan magnesium. Jika diterjemahkan secara saintifik, ia adalah Kaca Boron Silikon, sesuatu yang tidak dikenali oleh ilmu sains moden.
Walaupun kebanyakan laporan menyatakan angel’s hair akan lenyap bila disentuh, namun ada juga laporan yang tidak menyebut tentangnya. Prof Cozzi membuat andaian bahawa ia bergantung pada faktor cuaca. Disebabkan ‘rambut malaikat’ itu terdiri daripada bahan serat polimer yang kompleks, ia hanya akan terurai ketika cuaca panas. Manakala apabila suhu dingin, bahan tersebut ternyata tidak mengurai.

Dari mana ‘rambut malaikat’ ini datang? Adakah benar ia mempunyai kaitan dengan UFO atau ia sebenarnya satu fenomena alam semula jadi?
Selain teori UFO, terdapat dua teori lain untuk menjelaskan fenomena ini. Bagi sesetengah ahli meteorologi, bahan tersebut dipercayai sarang labah-labah sebenar yang telah dibawa oleh udara.
Teori tersebut boleh dikatakan logik kerana sebelum ini juga pernah dilaporkan telah berlakunya hujan ikan dan hujan katak yang disebabkan oleh angin kencang . Jadi, kewajaran teori itu adalah tinggi. Tambahan pula dalam beberapa kes ‘angel’s hair’ yang dilaporkan, turut ditemui labah-labah hidup di dalamnya. Bagaimanapun, teori tersebut tidak menjelaskan mengapa bahannya mudah terurai ketika disentuh.
Manakala teori lain yang boleh menyebabkan perkara ini berlaku ialah partikel debu yang terpolarisasi. Menurut sesetengah ahli fizik, elektrik yang ada di atmosfera bumi mungkin telah menyebabkan partikel-partikel debu yang terapung di udara terpolarisasi hingga membentuk filamen yang panjang.


_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/

