Pernahkah anda hadapi situasi begini – ketika berjalan melewati kawasan yang mempunyai lampu jalan yang sedang menyala, tiba-tiba lampu tersebut padam apabila anda melaluinya. Lebih aneh, ia kembali menyala apabila anda bergerak menjauhinya.
Mungkin anda sering melihat fenomena begitu di kaca TV terutamanya berkaitan kisah-kisah seram. Tetapi, tahukah anda sebenarnya fenomena itu ada penjelasannya daripada sudut sains.
Fenomena ini sebenarnya telah dialami oleh ramai orang di seluruh dunia dan digelar Street Light interference atau singkatannya SLI.
Orang yang bertanggungjawab mengetengahkan perkara ini secara ilmiah ialah Hillary Evans dari The Association for the Scientific Study of Anomalous Phenomena (ASSAP). Beliau telah melakukan kajian terhadap 77 orang responden dan kemudian menerbitkan sebuah buku bertajuk SLIders: The Enigma of Streetlight Interference pada tahun 1993.

Dalam kajiannya itu, beliau menggelar orang yang pernah mengalami situasi ini dengan sebutan SLIders. Salah seorang daripada respondennya yang bernama Debbie Wolf menyatakan bahawa lampu jalanan itu hanya akan terpadam sekiranya didekati, tetapi akan kembali bernyala apabila berada dalam jarak yang agak jauh. Perkara itu berlaku berulang-ulang setiap kali dia melalui jalan yang sama.
Pada mulanya Wolf menganggap ianya disebabkan oleh kerosakan pada litar, tetapi apabila lampu tersebut ditenung pada jarak jauh, ia sedikit pun tidak terpadam sepanjang malam.
Walaupun banyak kes yang dilaporkan mengenai SLI, tetapi ia agak bervariasi. Ada SLIder yang hanya mampu mempengaruhi satu lampu jalan sahaja. Ada SLIder lain yang mampu mempengaruhi sederet lampu jalan. Dalam kes lain, seorang SLIder berupaya mematikan lampu ketika berada tepat di bawah lampu tersebut, namun ada juga yang mampu memadamkannya dengan berdiri beberapa meter dari lampu itu. Variasi-variasi seperti ini membuatkan SLI menjadi semakin sukar untuk diteliti kerana memiliki pola yang tidak teratur.
Sebahagian kes lain, SLIders bukan hanya memadamkan lampu jalan, tetapi ada laporan-laporan yang menyebut tubuh mereka turut mempengaruhi peralatan elektronik seperti televisyen, radio, jam digital dan pemain cakera padat.

Secara umum, Evans menolak perkara ini mempunyai kaitan dengan aktiviti paranormal, tetapi lebih selesa mencari jawapan dari sudut saintifik. Malah menurutnya, sesetengah SLIders tidak mahu menceritakan pengalaman ini kepada orang lain kerana takut dianggap sebagai seorang yang tidak siuman atau gila.
Bagaimanapun, jika seseorang mampu memadamkan lampu jalan tanpa memetik suis, maka perkara ini sudah menjadi suatu teka-teki yang cukup membingungkan. Justeru, apakah yang menyebabkan perkara ini terjadi?
Jelas Evans, salah satu masalah utama yang dihadapi dalam penelitian mengenai fenomena ini ialah untuk mengulangi semula perkara ini. Dalam kebanyakan eksperimen yang dilakukan, SLIder tidak berupaya memadamkan lampu seperti yang didakwa. Kebanyakannya mendakwa ia hanya berlaku secara kebetulan tanpa disengajakan. Disebabkan itu, sebahagian besar peneliti berpendapat fenomena ini mungkin berkaitan dengan gelombang elektrik di dalam otak yang tanpa disedari telah memicu berlakunya SLI. Benarkah?
Setiap pergerakan dan fikiran manusia dihasilkan oleh gelombang elektrik yang berhubung di dalam otak. Ia boleh diukur dengan menggunakan sejenis alat yang diberi nama Electroencepphalograph atau singkatannya EEG. Namun, gelombang ini hanya memiliki pengaruh terhadap tubuh manusia itu sendiri.
Bagaimanapun, segelintir orang percaya gelombang ini juga boleh mempengaruhi objek-objek di luar tubuh. Ia dikenali sebagai Mind Over Matter, iaitu fikiran yang mampu mempengaruhi objek-objek fizik lain seperti telekinesis.
Namun, berkemungkinan gelombang yang berjaya mempengaruhi keadaan itu hanyalah gelombang berfrekuensi besar iaitu gelombang Beta yang berukuran antara 13 hingga 28 Hertz. Pada ketika ini, otak bekerja ‘berat’, sehingga menghasilkan gelombang yang agak besar. Biasanya, seseorang berada dalam keadaan stres atau marah yang melampau. Pendapat ini dilihat mempunyai aliran yang sama dengan salah seorang responden Evans yang mendakwa perkara itu terjadi ketika dia berada dalam perasaan emosional yang ekstrem.

Bagi sesetengah peneliti lain seperti David Barlow yang merupakan seorang ahli astrofizik, beliau berpendapat fenomena ini tidak pernah wujud, sebaliknya ia hanyalah persepsi si pejalan kaki. Persepsi ini disebut sebagai Confirmation Bias, iaitu kecenderungan seseorang menerima informasi tanpa mempedulikan sama ada ia benar atau salah.
Apatah lagi, kebanyakan lampu jalan menggunakan lampu sodium yang apabila sudah semakin ‘uzur’, ia akan menyebabkan proses-proses kimiawi berlaku. Ini akan menjadikan suhu lampu meningkat dan akan padam secara tiba-tiba dalam masa beberapa minit. Jika secara kebetulan seseorang melalui di bawah lampu tersebut, berkemungkinan ia menganggapnya sebagai SLI.
Disebabkan itu, fenomena SLI masih belum dapat dikupas sepenuhnya. Banyak persoalan masih tergantung. Dalam masa yang sama, Hillary Evans sendiri tidak menolak kemungkinan ia hanyalah sekadar fenomena yang berlaku secara kebetulan dan tidak mempunyai apa-apa erti.
_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

