SEJAK hampir 150 tahun yang lalu, kawasan ini sering muncul fenomena aneh di mana sering kelihatan bebola api misteri terbang di sekitarnya. Ada yang menggelarnya sebagai cahaya hantu, cahaya misteri dan cahaya Chinati. Namun, paling popular ia dikenali sebagai ‘cahaya Marfa’ (Marfa Lights).
Cahaya aneh yang terbang di udara ini telah muncul sejak sekian lama di bahagian timur bandar Marfa di Texas, Amerika Syarikat.
Bebola cahaya itu saiznya seperti bola keranjang dengan warna putih, biru, merah dan kuning. Bebola aneh ini akan berlegar di ruang udara, terapung-apung, berkelip-kelip atau terbang sepantas kilat sebelum menghilang.
Kali pertama cahaya pelik ini dikesan pada tahun 1883. Ketika itu, seorang pemuda bernama Robert Ellison terkejut apabila melihat cahaya aneh melantun, berkelip-kelip, melayang-layang di udara dan bertukar warna sewaktu berkhemah di belakang Paisano Pass di Texas. Sangkannya, cahaya itu adalah unggun api milik orang asli.
Keesokan harinya apabila dia berjalan menuju ke tempat pancaran cahaya yang dilihatnya malam tadi, dia berasa pelik kerana tiada apa-apa ditemui di tempat itu. Tiada jejak kaki atau kesan unggun api di situ. Lalu, cahaya apa sebenarnya yang dilihat oleh Robert?


Kemudian, kisah cahaya misteri itu dilaporkan kembali pada tahun 1849 oleh seorang pemandu trak yang melihat cahaya serupa berbentuk bulat sebesar saiz bola keranjang, terapung-apung di atas permukaan tanah. Kadangkala ia melayang tinggi di udara dan bergerak di kelajuan rendah sewaktu melalui Mitchell Flats di Texas.
Laporan lain pula mengatakan, cahaya ganjil itu ada kalanya hilang dan muncul semula dalam pelbagai warna seperti putih, kuning, oren, merah, hijau dan kebiru-biruan.
Fenomena ganjil ini hanya boleh disaksikan pada waktu malam lebih kurang 12 kali dalam setahun. Anehnya, cahaya ini sering kali dilihat muncul di kawasan padang pasir Chihuahua Desert di Texas.


Cerita penduduk tempatan di situ mengaitkan kawasan tersebut sebagai bekas medan peperangan dan pembunuhan orang asli Apache. Sebab itu mereka mengaitkan cahaya itu dengan roh atau hantu yang berkeliaran di padang pasir tersebut.
Malah, ada yang percaya sebenarnya hantu yang menghidupkan cahaya-cahaya misteri itu. Bermula dari situ, tempat itu dipanggil sebagai Marfa Lights atau ‘cahaya hantu Marfa’.
Pada tahun 2004, sekumpulan pelajar Persatuan Fizik dari Universiti Texas cuba mengkaji tentang cahaya aneh ini. Mereka membuat rakaman lampu yang di perhati daripada View Park menggunakan kekuatan alat penyelenggara lalu lintas, kamera video, teropong dan kereta ronda.
Hasil kajian mereka mendapati pancaran yang dikatakan cahaya Marfa itu sebenarnya bukanlah ‘cahaya hantu’ seperti yang didakwa. Sebaliknya, mereka mengaitkan fenomena itu dengan cahaya dari lampu kereta yang melalui jalan di kawasan itu, kerana cahaya itu muncul dengan kerap setiap kali kereta melalui lebuh raya tersebut. Malah, lampu kereta dikatakan sangat mirip dengan gambar ‘cahaya hantu’ yang ditangkap. Teori itu ditentang kerana ramai yang menyaksikan cahaya itu tanpa ada kenderaan melalui jalan tersebut.
Paul Moran pernah menulis kisah dengan judul ‘The Mystery Texas Ghost Light’ yang disiarkan dalam majalah Coronet bahawa ada pihak sengaja memberikan keajaiban paranormal untuk menarik ramai pelancong mengunjungi kawasan terpencil itu. Bagaimanapun, kenyataan ini ditentang orang ramai kerana kebanyakan penyelidik tidak mengkaji fenomena cahaya aneh itu dengan teliti.
Dinyatakan, kawasan yang sering dilihat cahaya misteri itu terletak di Marfa Army Airfield, Texas. Kakitangan yang bertugas di situ juga kerap menyaksikan cahaya itu ketika melakukan rondaan. Mereka menganggap, cahaya Marfa muncul dengan sendirinya.
Pada tahun 1947, seorang pesara perajurit dan juruterbang perang, Faritz Kahl, pula mendakwa pernah mengekori cahaya misteri tersebut, namun mereka tidak menemui sebarang punca kepada kewujudannya.

Penjelasan dominan pula melihat kejadian ini menyerupai bayangan udara akibat suhu pada lapisan antara dingin dan panas menyebabkan cahaya itu terpancar. Namun, hipotesis ini juga ditolak.
Teori lain pula muncul dengan mengandaikan kemunculan cahaya itu mungkin disebabkan kesan piezoeletrik pada batu kuarza. Pierre Curie, salah seorang pengkaji fenomena ini pernah membuat teori mengaitkannya dengan bentuk muka bumi Marfa yang bergunung-ganang dipercayai kebanyakannya mengandungi batu kuarza.
Pada waktu siang, batu kuarza didapati mengembang dan mengecut menjelang waktu malam disebabkan berlaku pengembangan haba. Proses pengembangan dan pengecutan ini menjadikan hablur kuarza bertukar ke dalam voltan, sebelum keluar ke atmosfera mewujudkan kesan bola kilat yang kelihatan seperti bebola api. Namun, teorinya ini juga kurang diberi perhatian.
Rata-rata pengkaji mengaitkan fenomena ini dengan pantulan lampu kereta dan unggun api, walaupun tiada bukti kukuh untuk menjelaskannya.
Bagi penduduk tempatan pula, mereka lebih percaya bebola api itu ada kaitan dengan roh, hantu, bahkan ada juga yang mengaitkannya dengan UFO.
________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen

