Fasa Peralihan ke Endemik bermula, episod baharu pasca-COVID-19

Dari Penulis

BERMULA hari ini, negara beralih ke Fasa Peralihan ke Endemik selepas lebih dua tahun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19 yang menyaksikan pelbagai kawalan dan kekangan dilaksanakan.

Ini termasuklah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama pada 18 Mac 2020, penutupan sempadan negara, pengenalan amalan penjarakan fizikal, pelaksanaan pemakaian pelitup muka di tempat awam, serta penggunaan aplikasi MySejahtera dan lain-lain lagi.

Namun mulai 1 April, Fasa Peralihan Ke Endemik menyaksikan pelbagai kelonggaran diberikan semula, termasuk aktiviti solat jemaah di masjid serta surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

Mulai hari ini juga, premis perniagaan dibolehkan melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis, apabila had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan.

Bagaimanapun pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu manakala pendaftaran kemasukan menggunakan aplikasi MySejahtera juga masih diwajibkan, dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai.

Sebanyak sembilan negeri termasuk Wilayah Persekutuan, Terengganu, Sarawak, Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Selangor dan Melaka, mengumumkan pelaksanaan solat tanpa penjarakan fizikal mulai 1 April.

Kerajaan Negeri Sembilan pula menetapkan penjarakan fizikal ketika mendirikan solat berjemaah dan wirid di semua masjid dan surau mengikut aturan sejadah bersaiz besar iaitu 0.6 meter lebar x 1.2 meter panjang.

Johor membenarkan semua masjid dan surau merapatkan sejadah ketika pelaksanaan solat berjemaah tanpa bersentuhan antara jemaah mulai esok, manakala turut mengambil langkah yang sama ialah Pahang, yang membenarkan kehadiran ke masjid dan surau kepada semua sama ada divaksin atau belum.

Perlis sudah membenarkan solat jemaah berjemaah dengan merapatkan saf sejak Januari lepas, sementara Sabah mengumumkan surau dan masjid boleh melaksanakan solat berjemaah dengan kapasiti penuh tanpa sentuhan fizika.

Mengenai pembukaan sempadan negara, sumber AirAsia Malaysia ketika dihubungi menyatakan penerbangan pertama yang akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) esok ialah AK52 dari Bengaluru pada 6.20 pagi.

Sumber itu berkata AirAsia akan mengadakan acara sambutan penerbangan antarabangsa bagi untuk penerbangan AK381 dari Jakarta, yang dijangka tiba pada 11.45 pagi hari ini.

“Sebanyak 12 penerbangan antarabangsa AirAsia dari lapan negara iaitu Kemboja, Vietnam, Indonesia, Singapura, Thailand, Bangladesh, Filipina dan India, dijangka mendarat di klia2 hari ini,” katanya.

Sumber Malaysia Airports Holdings Berhad ketika dihubungi menyatakan data mengenai penerbangan antarabangsa yang tiba dan keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, akan diumumkan menerusi satu kenyataan.

Sementara itu jurucakap rangkaian restoran Nasi Kandar Pelita ketika dihubungi menerusi Whatsapp menyatakan lapan restorannya akan beroperasi secara 24 jam bermula tengah malam tadi.

Lokasi lapan restoran berkenaan ialah di Taman Chai Leng di Prai dan Jalan Macalister di Pulau Pinang; Jalan Ampang dan Desa Sri Hartamas di ibu negara; Subang Jaya, Ampang Point dan Sunway di Selangor dan sebuah lagi di Ipoh.

Sementara 16 lagi rangkaian restoran Nasi Kandar Pelita di seluruh negara akan beroperasi dalam pelbagai waktu termasuk dari 6 pagi hingga 2 pagi, 9 pagi hingga 6 pagi dan 3 petang hingga 6 pagi.

Sejak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa negara akan memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April dengan pembukaan sempadan negara, banyak agensi pelancongan mula mengiklankan pakej percutian.

Sebuah agensi pelancongan MyZarra Travel and Services Sdn Bhd telahpun mempromosikan percutian ke negara Eropah dan Balkan bermula bulan depan.

Namun dalam keghairahan menikmati Fasa Peralihan Ke Endemik dengan merancang percutian ke luar negara, bersahur di restoran dan pulang ke kampung menyambut Aidilfitri bersama keluarga setelah dua tahun tidak dapat berbuat demikian, semua pihak masih perlu beringat peperangan terhadap COVID-19 masih belum tamat.

Pesan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, orang ramai janganlah lalai dan terus mengamalkan kawalan kendiri, dalam memastikan COVID-19 terus terkawal dan tidak lagi membelenggu kehidupan masyarakat keseluruhannya. – BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Agong titah KP SPRM laksana amanah penuh integriti

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim...

More Articles Like This