SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu Mei nanti.
Ini bermakna Saifuddin akan berhadapan cabaran Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang telah pun mengesahkan penyertaan bagi jawatan itu pada 15 Mac lalu.
Memetik laporan BH Online, Saifuddin menyatakan komitmen untuk membawa pendekatan kerja berpasukan serta menghargai sumbangan semua ahli parti.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu memaklumkan akan meneruskan usaha membantu institusi presiden yang kini disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim serta sebelumnya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bagi mempersiapkan PKR menghadapi pilihan raya umum (PRU).
“Saya bersama pimpinan lain juga turut membantu parti dalam urusan rundingan kerusi, pembikinan manifesto, perancangan strategi, pengukuhan jentera dan kempen seluruh negara pada PRU 2008, 2013 dan 2018.
“Saya memohon dan merayu anggota parti membuat pertimbangan serta memberi sokongan dengan mengambil kira ketaatan saya kepada pimpinan dan perjuangan parti sejak hampir 23 tahun lalu,” katanya.
Beliau sebelum itu hadir dalam Mesyuarat Agung Cabang Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, hari ini.
Baca artikel berkaitan: Rafizi mahu tanding Timbalan Presiden, bukan Presiden
Mengulas mengenai ‘lawan’ yang akan dicabar pada pemilihan parti, Saifuddin menyifatkan Rafizi sebagai aset parti atas beberapa perkara.
Sambil mengalu-alukan persaingan berkenaan, Saifuddin mengatakan Rafizi merupakan seorang yang kreatif, intelektual, tinggi daya juang dan dihormati rakan serta lawan.
“Persaingan ini adalah tawaran dua rakan yang ingin terus menyumbang kepada keutuhan parti melalui proses demokrasi yang diizinkan dalam perlembagaan parti,” jelas beliau.
15 Mac lalu, Rafizi mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti Mei ini.
Ini percubaan kali kedua beliau untuk merebut jawatan tersebut selepas tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 2018.
Beliau yang sudah mengumumkan bersara daripada politik pada hujung 2019 memaklumkan keputusan untuk kembali kerana ada desakan daripada PKR dan Pakatan Harapan (PH).
Malah, lebih daripada itu katanya, ramai rakyat biasa juga mendesak beliau kembali ke gelanggang politik.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

