AKTOR Will Smith,54, meletak jawatan daripada Akademi Seni dan Sains Motion Picture selepas insiden menampar pelawak Chris Rock ketika Academy Awards 2022 hujung minggu lalu.
“Saya akan bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatan saya.
“Tindakan saya ketika penyampaian Academy Awards 2022 adalah mengejutkan, menyakitkan dan tidak boleh dimaafkan,” kata Smith dalam satu kenyataan.
Pengunduran Smith dibuat hampir seminggu selepas dia bertindak menampar Rock kerana tersinggung dengan jenaka pelawak itu mengenai isterinya, Jada Pinkett Smith.
“Saya mengkhianati amanah Akademi. Saya menutup peluang calon dan pemenang lain untuk meraikan dan diraikan kerana pencapaian luar biasa mereka,” ujarnya lagi.
Lembaga pengelola Akademi mengadakan mesyuarat tergempar minggu ini bagi memulakan proses semakan rasmi, dengan kemungkinan Smith berdepan penggantungan atau penyingkiran.
Meskipun telah meletak jawatan, Akademi masih boleh menarik semula anugerah yang dimenang Smith menerusi watak Raja Richard .
Difahamkan, Lembaga Akademi akan bermesyuarat sekali lagi pada 15 April ini.
“Saya akan menerima apa jua keputusan selanjutnya oleh Lembaga Pengarah,” jelasnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

