SERAMAI 252,730 orang pengembara masuk ke Malaysia setakat 5 April lalu sejak pintu sempadan negara dibuka.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 126,392 (ketibaan) dan 28,301 (berlepas) merupakan warganegara Malaysia.
“Manakala 55,121 (ketibaan) dan 42,916 (berlepas) adalah pengembara warga asing.
“Lima negara yang merekodkan jumlah pelawat tertinggi adalah Singapura (65,165), Thailand (7,841), Indonesia (5,173), India (2,477) dan United Kingdom (1,485),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Imigresen serbu pusat hiburan di Ipoh, tahan 27 warga asing
Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, JIM telah merekodkan jumlah pengembara yang masuk dan keluar melalui pintu-pintu utama negara itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor, Padang Besar di Perlis, Bukit Kayu Hitam di Kedah Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di Sabah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching serta Pintu Masuk Sungai Tujoh di Sarawak.
Jelasnya, pintu masuk yang mencatatkan jumlah pergerakan warga asing tertinggi pula adalah BSI (160,818),Link Kedua (53,113), KLIA (38,407), KLIA2 (11,712) dan Bukit Kayu Hitam (6,980).
Selain itu, beliau berkata, pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa turut mencatatkan peningkatan yang mendadak.
“Bagi tempoh 1 hingga 4 April 2022, sebanyak 12,923 naskah pasport telah dikeluarkan di semua Pejabat Imigresen seluruh negara.
“Ini dijangka akan terus meningkat berikutan orang awam memanfaatkan pembukaan sempadan bagi tujuan melancong keluar negara dan mengerjakan ibadah umrah,” katanya.
Mengulas lanjut, berdasarkan statisik yang diperoleh, Khairul Dzaimee memaklumkan terdapat peningkatan yang ketara berbanding sebelum sempadan negara dibuka.
Katanya, pergerakan keluar masuk warga asing mencatatkan peningkatan sebanyak 76.4 peratus.
Tambah beliau, pengeluaran pasport pula merekodkan peningkatan sebanyak 38.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada bulan Mac 2022.
“JIM akan terus bekerjasama dengan lain-lain agensi bagi memastikan pergerakan di pintu-pintu masuk negara berjalan dengan lancar.
“Kita mengingatkan orang ramai terutamanya pengembara atau pelawat asing supaya sentiasa mematuhi protokol Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Peraturan-peraturan Imigresen yang telah ditetapkan.
“Kepada rakyat Malaysia, mereka dinasihatkan supaya menyemak rekod senarai hitam dalam portal JIM atau kiosk yang terdapat di KLIA,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

