PEMANDU perodua Bezza yang memandu lawan arus sehingga menyebabkan dua penunggang motosikal cedera dalam kejadian di Kilometer 30.1 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) pukul 2.49 petang semalam sudah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, suspek yang cedera di kepala ditahan kira-kira pukul 4 petang hari kejadian, ketika menerima rawatan di Hospital Banting.
Katanya, siasatan mendapati, penunggang motosikal Honda Dash dari arah Banting menghala ke Bandar Saujana sedang bergerak lurus, tiba-tiba terlihat sebuah Perodua Bezza berhenti di lorong kecemasan menyebabkan penunggang motosikal itu terus memberhentikan kenderaannya di hadapan Perodua Bezza.
“Secara tiba-tiba, Perodua Bezza bergerak semula lalu melanggar sisi bahagian hadapan Honda Dash itu sehingga penunggang terjatuh dan mengalami kecederaan ringan di kaki dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Ridhwan berkata, selepas perlanggaran itu, pemandu Perodua Bezza itu terus bergerak melawan arus di lorong kecemasan berkenaan.
Baca artikel berkaitan: Kes Bella: Hakim, pihak terlibat melawat lokasi kejadian Rabu ini

“Apabila tiba di KM 30.1 Lebuhraya SKVE, dia melanggar sebuah Yamaha LC 135 dari arah Banting menghala ke Bandar Saujana Putra sehingga menyebabkan penunggang motosikal itu tercampak di jalan dan mengalami kecederaan di kedua-dua tangan dan kaki.
“Dalam kemalangan ini, kesemua mangsa terbabit mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Banting untuk menerima rawatan,” katanya.
Beliau berkata, suspek lelaki, 42 tahun yang juga pemandu Perodua Bezza ditangkap, malah sampel darah diambil untuk tujuan analisa alkohol dan dadah.
“Suspek ditangkap di hospital selepas dibawa dengan ambulans dari tempat kemalangan dan ditahan di wad kerana cedera di kepala.
“Suspek tidak akan direman kerana mengalami kecederaan,” katanya.
Katanya, saksi bebas yang melihat kemalangan berlaku atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan ini boleh menghubungi mana-mana balai Polis berhampiran.
“Boleh juga menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mazrol Mohd Din (Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat) di talian 011-18539115 @ 03-31872222,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

