Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENJENAYAH ‘solo’ yang ditahan membunuh pengawal van keselamatan semasa kejadian samun di sebuah bank di Puchong Prima, Subang Jaya, Mac lalu telah dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam, hari ini. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, penjenayah ‘solo’ itu berdepan dengan lapan pertuduhan termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. 

Menurut beliau, tertuduh turut berdepan pertuduhan cubaan membunuh rakan sekerja mangsa yang ditembak di bahagian perut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun penjara jika sabit kesalahan. 

Selain itu, Abd. Jalil memaklumkan, penjenayah ‘solo’ itu juga dituduh memiliki senjata api iaitu sepucuk pistol semi automatik jenama Walther P99 yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata. 

“Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api yang boleh dihukum mati selain didakwa bawah akta sama dalam tiga lagi penglibatan samun bank bersenjata api yang berlaku di sekitar Subang Jaya dan Shah Alam.

“Dengan tertangkapnya tertuduh, polis turut berjaya merungkai kes pembunuhan melibatkan seorang anggota polis lima tahun lalu yang ditembak mati semasa sedang bertugas di Balai Polis Pinggiran USJ, Subang Jaya. 

“Bagi kesalahan ini, tertuduh sekali lagi didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kehilangan pistol milik anggota tersebut juga terjawab dengan rampasan sepucuk pistol tersebut , pistol sama digunakan dalam kes rompakan bank melibatkan tertuduh,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Baca artikel berkaitan: Pengawal keselamatan van bawa wang maut ditembak depan bank

Media sebelum ini melaporkan suspek yang berusia 38 tahun ditahan di Seksyen 24 Shah Alam, sekitar jam 7 malam, kira-kira sejam selepas melarikan karung wang dan menembak mati seorang pengawal keselamatan dalam kejadian rompak di hadapan sebuah bank di Puchong Prima, 11 Mac lalu itu.

Dalam kejadian kira-kira 5.50 petang itu, empat pengawal keselamatan dalam proses mengambil wang di sebuah bank dengan menaiki van keselamatan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman dipetik berkata, kesemua mereka baru selesai mengambil wang daripada sebuah bank berhampiran untuk disimpan dalam peti keselamatan.

“Tiga pengawal keselamatan kemudiannya masuk ke dalam bank kedua terbabit, manakala pemandu van tidak keluar dari kenderaannya.

“Ketika dalam proses untuk menyimpan wang, seorang lelaki tiba-tiba muncul dan terjadi perebutan karung wang sebelum berlaku tembakan,” katanya.

Suspek bersenjatakan pistol menembak bahagian rusuk dan tulang belakang dua pengawal keselamatan menyebabkan salah seorang daripadanya meninggal dunia.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegra