Apa yang penting ialah mencari barakah atau keberkatan. Mungkin sahaja makanan itu sedikit namun bila diselubungi barakah atau keberkatan daripada Allah , ianya mampu memberi kekuatan fizikal dan spiritual kepada insan mukmin yang bersahur. Disebabkan inilah kita dapati bersahur adalah satu amalan yang amat-amat digalakkan walaupun dengan seteguk air. Sabda Rasulullah s.a.w.,
“Sahur ialah santapan berkat, janganlah kamu semua tinggalkannya walaupun dengan meneguk seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat ke atas orang yang bersahur” HR al-Imam Ahmad.
Sekiranya masuk waktu fajar, tidak dibenarkan makan dan minum. Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Baqarah: 187,
“Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar.”
Namun, terdapat kelonggaran untuk makan dan minum walaupun azan berkumandang bagi mereka yang memegang bekas minuman di tangannya. Sabda Rasulullah s.a.w.,
“Sekiranya seorang daripada kamu mendengar azan sedang bekas air di tangannya, janganlah dia letakkan sehingga dia selesaikan apa yang dia perlu” HR al-Imam Abu Daud
Sahur sewajarnya dilewatkan sehingga ke penghujung waktu iaitu seketika sebelum masuknya waktu fajar. Sabda Rasulullah s.a.w.,
“Tiga perkara merupakan akhlak kenabian; mencepatkan buka puasa, melewatkan sahur dan meletak tangan kanan atas tangan kiri dalam solat” HR al-Tabarani
Perbuatan imsak iaitu menahan diri daripada makan dan minum serta segala yang membatalkan puasa beberapa minit sebelum waktu subuh adalah dikira oleh para ulama sebagai satu amalan yang tidak berpaksikan dalil yang sahih. Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Manusia akan berada dalam kebaikan selagimana mereka mempercepatkan berbuka puasa” HR al-Bukhari.
Al-Imam Ali bin Hajar al-‘Asqalani al-Shafi’i rahimahullah telah membahaskan hadith ini dengan berkata,
“(Perhatian): Di antara bid‘ah-bid‘ah yang munkar ialah apa yang berlaku di zaman ini iaitu melaungkan azan kedua sebelum waktu subuh dengan anggaran satu pertiga jam pada bulan Ramadhan, di samping memadamkan pelita-pelita yang dijadikan tanda pengharaman makan dan minum bagi mereka yang ingin berpuasa.

Perbuatan ini dianggap satu usaha berjaga-jaga dalam ibadat. Perkara ini tidak diketahui kecuali oleh segelintir manusia. Perbuatan ini juga telah menarik mereka untuk tidak melaungkan azan kecuali selepas terbenamnya matahari seketika untuk memastikan waktu –pada sangkaan mereka-.
Dengan ini mereka telah melewatkan berbuka dan mempercepatkan bersahur dan mereka telah menyalahi al-Sunnah. Disebabkan inilah kebaikan menjadi sedikit di kalangan mereka dan keburukan menjadi banyak di kalangan mereka. Allah jualah yang dipohon pertolongan. (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, jil. 4).
Puasa, yang disebut dalam bahasa Arab sebagai al-Siyam dan al-Saum, ertinya ialah menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbitnya fajar hinggalah terbenamnya matahari, disertai dengan niat (Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i. Jilid 1).
Rasulullah s.a.w. telah mengajar kita agar berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah. Sabdanya,
“Siapa berpuasa Ramadan dengan keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosanya yang terdahulu” HR al-Bukhari
Rasulullah s.a.w. juga memperingatkan kita semua bahawa Bulan Ramadan adalah bulan yang sepatutnya diusahakan agar amalan-amalan kebajikan dipergiatkan dan digandakan. Begitu juga sebaliknya, amalan-amalan buruk dan jahat hendaklah dihentikan. Sabda Rasulullah s.a.w.,
“Apabila masuknya malam pertama dari bulan Ramadhan para syaitan dan pengganas jin akan dirantai, pintu-pintu neraka akan ditutup, tiada satu pun akan dibuka, pintu-pintu syurga dibuka, tiada satu pun akan ditutup. Akan ada seseorang yang akan melaungkan, ‘Wahai orang yang inginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang inginkan kejahatan, berhentilah. Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan daripada neraka pada setiap malam”HR al-Tirmizi
_____________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

