google lahir cendekiawan islam

Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya umatku tidak akan bersepakat dengan kesesatan. Oleh karena itu, apabila kalian melihat terjadi perselisihan maka ikutilah as-sawad al a’zham (jamaah muslimin atau pemahaman jumhur ulama).” HR Ibnu Majah

Jelas sekali sejak dari awal sejarah Islam,telah wujud satu spektrum pandangan dan pegangan para ulama, kemudian terdapat golongan-golongan serpihan yang ditolak pandangan mereka oleh ummah.

Kini, apabila berhadapan dengan kontroversi moden, kita perlu melihat pihak yang mengeluarkan fatwa atau pandangan itu, semak rekod, kredibiliti, rakan-rakan seperjuangannya, dan penerimaannya oleh ummah. Semua ini adalah tanda-tanda di sisi Allah dan kaedah yang boleh digunakan untuk menentukan kesahihan sesuatu pandangan.

Pada zaman ini ramai orang tidak begitu tinggi ilmunya, tetapi bijak berkata-kata dan memberi pendapat sehingga dianggap ulama atau cendekiawan Islam. Mereka mampu membuat audiens terpegun, tetapi tidak pernah belajar syariah atau kelayakan yang authentik. Malangnya ramai umat Islam menjadi keliru.

Malah mereka juga galak mengeluarkan fatwa menghukum benar atau salah setiap amalan seseorang terutama di media sosial. Kononnya merekalah yang benar dan lebih alim dari orang lain. Bak kata orang ustaz segera ibarat cendawan tumbuh seusai hujan.

Oleh itu setiap kita perlu diperingatkan mengenai kelayakan ilmu Islam yang authentik, dan kelayakan ilmu pseudo. Seorang yang selalu menonton video di Youtube tidak menjadikannya alim, dan seseorang yang sering Google untuk mendapatkan fatwa tidak menjadikannya seorang mufti.

Kita tidak melakukkan ini dalam bidang lain. Contohnya, kita tidak mengganggap seseorang itu doktor jika dia hanya belajar daripada Google dan Wikipedia. Jadi mengapa agama menjadi lebih murah daripada nyawa kita? Institusi ulama mempunyai orang yang berkredibiliti, dan memiliki kesarjanaan yang sah.

Adalah menjadi tanggungjawab kita mencari ulama yang berwibawa itu, dan bersyukurlah kerana terdapat pelbagai pandangan sah yang memahami dan bertoleransi. Kita boleh memilih dalam lingkungan spektrum tersebut.

Memang wujud kepelbagaian pandangan dalam lingkungan spektrum ini, dan ia terdapat dalam perbincangan ulama klasik. Bagaimanapun terdapat juga pandangan-pandangan yang terkeluar daripada spektrum yang boleh diterima. Sebab itulah kita perlu berfikir dengan lebih kritikal.

Jika ada yang berani mempersoalkan Islam dan hukum-hukum yang telah ditetapkan, mereka juga perlu berani untuk mempersoal paradigma mereka sendiri, yang menjadi punca mereka mengemukakan soalan-soalan tersebut.

Jika mereka berani bertanya mengapa itu haram atau mengapa Allah melarang ini? Mereka juga perlu mencabar naratif dominan yang sedia wujud, dan berani mencabar kefahaman arus perdana. Ini kerana moraliti dan etika dalam persekitaran Barat sentiasa berevolusi. Manakala dalam tradisi Islam, moraliti dan etika adalah stabil.

Kita perlu sedar tentang kesan kehidupan dalam masyarakat, budaya, serta peradaban tertentu, dan bagaimana ia secara automatik menyebabkan kita menyerap nilai-nilai, melalui osmosis, juga interaksi. Sesetengah nilai itu mungkin tidak Islamik. Jadi soalan-soalan ini juga perlu ditanya, sebagaimana kita bertanya, atau mempersoalkan Islam.

Dalam hal ini khususnya, post modernisme amat perlu difahami. Jika kita mengikut aliran pandangan itu, tidak wujud halal dan haram, atau etika. Aliran liberalisme tulen ini, mengharuskan semua perkara.

Salah satu perkara yang diajar ialah kita perlu bertoleransi, liberal dan menerima perbezaan pandangan. Kita menjangka ini adalah naratif yang dominan dan boleh diterima. Bagaimanapun apabila ada pihak yang mempersoalkan dari segi moral gaya hidup alternatif, pihak itu akan dianggap taksub.

Pihak yang tidak bersetuju dengan suatu gaya hidup disamakan dengan rasis! Malah ada yang kehilangan kerja atau terpaksa meletakkan jawatan kerana menyatakan sokongan kepada nilai hidup yang telah dipegang sejak ribuan tahun, dan tidak menerima nilai-nilai moral dan keluarga yang baru.

Di mana toleransi yang mereka agungkan? Jika mereka hanya bertoleransi dengan pihak yang sependapat dengan mereka sahaja, itu bukan toleransi. Kita dapat melihat double standard ini dalam banyak hal.

Hakikatnya, moraliti tidak ditentukan oleh majoriti. Firman Allah,

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu daripada jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Al-An’am: 116)

Beza Budaya Setiap Zaman

Jadi kita perlu kritital dalam menangani pelbagai persoalan yang timbul. Contohnya, salah satu kontroversi yang menimbulkan keraguan terhadap agama ialah dengan membangkitkan soalan-soalan titik bengek. Contohnya perkahwinan Nabi s.a.w dengan Aisyah yang ketika itu masih kanak-kanak.

Perkara ini digunakan oleh golongan Islamophobia untuk mencemarkan nama baik Nabi s.a.w. Mereka menggelar Baginda dengan nama-nama yang hina. Generasi muda Islam menjadi keliru tentang bagaimana mempertahankan nama baik Baginda s.a.w.

Tetapi, perkara ini sangat mudah untuk dijawab. Hal sebegini dianggap tidak beretika atau tidak bermoral kerana masa telah berubah, dan kita pula mengguna pakai standard etika dan hukum moral zaman ini untuk sesuatu yang menjadi amalan dalam masyarakat Arab abad ketujuh!

Dalam sejarah kita boleh dapati perkahwinan zaman dahulu berlaku pada usia yang sangat muda. Ada yang dikahwinkan sejak lahir, tetapi menjalankan perkahwinan itu setelah berusia seawal sembilan tahun. Di sesetengah negeri di Amerika Syarikat sehingga hari ini pun, usia minimum dibenarkan berkahwin ialah 14 tahun.

Ini berlaku kerana pada zaman itu, di mana manusia secara fizikal dan mental matang lebih awal. Dahulu manusia terpaksa memikul tanggungjawab pada usia lebih awal. Seorang yang berusia 13 tahun dahulu tidak sama kematangannya dengan seorang yang sebayanya pada hari ini.

Adalah tidak adil untuk kita menganggap Rasulullah s.a.w mengahwini Aisyah yang masih muda sebagai tidak bermoral. Kita perlu meletakkan soal ini dalam konteks yang betul, dan bukan menyamakan masalah dalam budaya sekarang dengan sistem dan budaya masyarakat Arab lebih 1400 tahun dahulu.

Sebagai umat Islam, kita perlu mendalami tradisi dan ilmu Islam. Jika tidak pun menjadi seorang alim, janganlah menjadi orang yang jahil. Belajarlah dan dekatilah ulama yang bijaksana.

Selain itu, nilai semula tradisi yang kita pegang, bukan tradisi Islam, tetapi naratif yang dominan, nilai-nilai liberalisme dan sebagainya.

Akhir sekali, sentiasalah berdoa kepada Allah, “Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.” Kita membacanya hampir 20 kali sehari dalam solat. Mohonlah petunjuk dan hidayah daripada-Nya.

Rasulullah s.a.w sendiri berdoa kepada Allah  

“Ya Allah Tunjukkanlah kepada kami yang benar itu benar dan berikan kami kekuatan untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kami yang batil itu batil dan berikan kami kekuatan untuk menjauhinya” HR Bukhari dan Muslim

Oleh: (Dr. Yasir Qadhi: Our Time Our Challenges: Ultra Conservative vs Ultra Liberalism)

____________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/