METEOR ialah jasad-jasad kecil di sistem suria. Persatuan Astronomi Antarabangsa pada sidang umum kesembilan tahun 1961 mentakrifkan meteorit sebagai sebuah objek padat yang berada atau bergerak dalam ruang antara planet.
Ketika memasuki atmosfera, meteor akan dipanaskan dan sebahagian atau keseluruhannya akan meruap. Gas-gas di sepanjang lintasannya akan bercahaya dan jejak gas bercahaya ini disebut sebagai meteor atau tahi bintang. Jika ia mendarat ke tanah, maka akan disebut sebagai meteorit.
Tahukah anda, siapa manusia yang selamat daripada dibedil hentaman meteor ini?
Manusia itu ialah Ann Hodges, seorang wanita yang juga merupakan satu-satunya manusia yang disahkan dalam sejarah, terselamat selepas dihentam oleh meteor.
Kejadian itu berlaku pada 30 November 1954. Sekitar pukul 1:46 petang waktu tempatan, Ann sedang berehat dan berbaring di atas sofa di ruang tamu rumahnya di Sylacauga, Alabama, Amerika Syarikat.
Keadaan ketika itu tenang saja. Namun tidak lama selepas itu, tiba-tiba sebuah meteor menembusi bumbung rumahnya dan terpelanting tepat menghentam badannya.

Dikatakan sebelum kejadian, penduduk tempatan melaporkan melihat jalur meteor berupa cahaya itu memasuki atmosfera. Manakala saksi lain memberitahu bahawa mereka ternampak bola api disertai letupan besar dan awan coklat di langit, beberapa minit sebelum ia jatuh terhempas ke permukaan bumi.
Berat serpihan meteor yang jatuh dari luar angkasa itu dianggarkan melebihi 4 kilogram, sebesar saiz sebiji limau gedang. Impak daripada hentaman yang kuat itu telah menyebabkan lebam besar berbentuk bujur di kiri perut Ann.
Meskipun cedera dan meninggalkan bekas seumur hidup, Ann selamat. Kejadian ini dianggap luar biasa. Ini kerana, Ann yang berusia 34 tahun pada ketika itu masih boleh bangun dan berjalan walaupun meteor panas telah menghentam tubuhnya. Malah, tiada setitik pun cairan darah keluar daripada bahagian yang tercedera.

Ibu Ann, Ida Franklin, yang sedang menjahit di dalam bilik turut terkejut mendengar bunyi hentaman kuat itu. Beliau kemudian berlari keluar dan terus mendapatkan anak perempuannya. Walaupun terkejut melihat keadaan rumah yang rosak, dia bersyukur kerana anaknya masih hidup.
Ann menghubungi pihak polis menceritakan apa yang berlaku. Kejadian itu kemudian tersebar dengan pantas ke merata tempat. Sejak diketahui umum, orang ramai mulai berpusu-pusu ke rumah Ann. Para wartawan juga tidak ketinggalan berlumba-lumba untuk mewawancara beliau bagi mendapatkan cerita sebenar.

Disebabkan terkejut dengan kehadiran orang ramai, pihak polis segera mengarahkan ambulan untuk membawa Ann ke hospital. Ketika sedang mendapatkan rawatan, pihak polis yang menjalankan siasatan di rumah Ann telah bertindak di luar makluman.
Ann berkata, dia terkejut kerana batu hitam yang menghentamnya itu dirampas oleh pihak polis untuk diserahkan kepada Tentera Udara Amerika Syarikat. Punca rampasan itu dikatakan berkait rapat dengan rasa paranoid pihak kerajaan terhadap Perang Dingin yang tercetus pada masa itu. Sampaikan, meteor yang jatuh terhempas pun disangka pesawat musuh atau lebih teruk lagi, senjata pihak musuh.
Setelah disiasat, Tentera Udara Amerika Syarikat mengesahkan bahawa ia memang terbukti meteor dan bukan serpihan pesawat atau senjata musuh seperti sangkaan sebelumnya.
Sebaik sahaja siasatan selesai dilakukan, orang ramai menuntut agar batu itu dikembalikan kepada Ann. Dan pihak berkuasa bersetuju dengan cadangan tersebut.
Bagaimanapun, semasa proses pemulangan batu meteor itu, berlaku perebutan terhadap batu tersebut di antara Ann sebagai penyewa dan tuan rumah, Birdie Guy.
Guy mendakwa, meteor itu sebenarnya milik beliau kerana ia mendarat di atas harta miliknya. Justeru, Guy memfailkan tuntutan pemilikan batu tersebut dengan harapan dapat menjualnya untuk membayar kos pembaikan rumahnya yang rosak.

Setelah lama berbincang, kedua-dua pihak akhirnya bersetuju untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah. Ann diarahkan membayar sebanyak USD500 kepada Guy untuk mendapatkan batu tersebut. Namun, hanya selepas lebih setahun, barulah Ann menerima meteor itu semula. Malangnya, pada masa itu minat orang ramai semakin berkurangan dan tiada siapa yang ingin membeli batu tersebut.
Sebelum itu, batu meteor mempunyai nilai tinggi. Salah seorang petani tempatan, Julius Kempis McKinney yang dilaporkan turut menjumpai serpihan kedua meteor yang sama telah menjualnya kepada pengumpul batu. Dengan wang tersebut, McKinney dapat membeli rumah serta kereta baru.
Gara-gara tidak mendatangkan hasil, Ann akhirnya membuat keputusan untuk mendermakan batu meteor itu ke Alabama Museum of Natural History pada tahun 1956.

Tidak lama selepas itu, Ann dikejarkan ke hospital kerana mengalami kerosakan saraf. Pada tahun 1964, beliau berpisah dengan suaminya, Eugene. Lapan tahun kemudian, iaitu sekitar tahun 1972, Ann meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 52 tahun di rumah penjagaan Sylacauga.

_________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

