MKMF Pulau Tiga legasi perkhidmatan awam Ali Hamsa

Dari Penulis

BERITA kembalinya bekas Ketua Setiausaha  Negara, Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa ke Rahmatullah amat memeranjatkan penulis.

Selepas bersara, Allahyarham masih berkomunikasi dengan penulis secara aktif terutama hal-hal berkaitan program pembangunan ekonomi seluruh negara yang penulis lakukan khususnya Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak.

Secara peribadi, penulis mula mengenali Allahyarham Ali secara rapat selepas penulis terlibat bersama kerajaan membangunkan program Kerjasama Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), My Kampung My Future (MKMF) yang bermula di Sabah dan Sarawak hinggalah di Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak pada tahun 2012.

Program MKMF bertujuan menggalakkan penglibatan belia secara aktif dalam pembangunan ekonomi dan sosial di luar bandar. MKMF digerakkan dengan konsep NBOS yang melibatkan perkongsian pelbagai agensi kerajaan diketuai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) ketika itu.

Peringkat awal perlaksanaan MKMF sekitar tahun 2012 terutama di Sabah sebagai projek perintis agak sukar atas pelbagai kekangan birokrasi sama ada di peringkat nasional mahupun negeri. Atas pengalaman luas penulis membangunkan program sosio-ekonomi di Sabah sebelum itu, penulis telah dipelawa oleh MOA untuk memulakan gerak kerja di Merotai Tawau.

Perkhidmatan penulis diberikan secara percuma, hinggalah MKMF Sabah berjaya dirasmikan oleh Tan Sri Noh Omar, Menteri MOA ketika itu. (Kisah penuh MKMF secara bersiri boleh diikuti menerusi google kolum Randau penulis tahun 2021).

Kejayaan itulah yang membawa kepada pemilihan  Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak yang buat pertama kalinya disebut sebagai kampung pertama yang terpilih di Semenanjung pada tahun 2012 dan dirasmikan pada 25 April 2013 oleh Allahyarham Ali yang ketika itu Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan mengetuai pasukan NBOS.

Allahyarham yang memantau gerak kerja penulis bersama kerajaan mempunyai penilaian yang tinggi terhadap penulis. Selepas itu, Allahyarham bukan sahaja membantu urusan MKMF Pulau Tiga, bahkan hal-hal lain terutama program pembangunan TVET di bawah Gabungan Institut Latihan Kemahiran Bumiputera (GILKSB) yang dipimpin oleh penulis.

Allahyarham Ali Hamsa yang mesra dan mudah tersenyum sentiasa memberikan peluang kepada penulis bertemu Allahyarham di pejabat atau di luar dan menyampaikan isu-isu berkaitan yang tidak selesai di peringkat bawah.

Kesan tindakan Allahyarham selepas itu pastinya memudahkan urusan penulis tetapi penulis terpaksa bersedia untuk menerima pelbagai rasa tidak puas hati sesetengah bos kakitangan awam apabila mereka menerima memo, surat atau mesej daripada KSN.

Daripada orang keliling beliau sendiri hinggalah ketua-ketua jabatan, pernah juga meluahkan rasa tidak senang dengan penulis kerana mereka menerima nasihat daripada KSN.

Walau bagaimanapun, sesetengah ketua jabatan menganggap, teguran atau ingatan KSN tersebut akan memudahkan lagi kerja mereka untuk mempercepatkan proses kerja dengan karenah birokrasi yang boleh dikurangkan.

Namun penulis menganggap, semua itu sebagai lumrah dan cabaran hidup yang kita kena lalui.

Menyentuh berkenaan pemilihan Pulau Tiga sebagai projek MKMF, inisiatif IGROW sendiri bukanlah semata-mata kepada potensi sumber sedia ada di Pulau Tiga tetapi juga mengambil kira katalis yang bakal membangunkan program tersebut secara mampan iaitu peranan IGROW sendiri sebagai stake holder bersama masyarakat.

Impak MKMF dan matlamatnya sebenarnya sudah berjaya dilaksanakan di Pulau Tiga yang kini sudah menjadi ikon kepada program pembangunan ekonomi belia di seluruh negara. Ini merupakan satu gerak kerja penting bagaimana proses kejayaan sesuatu dasar kerajaan yang memerlukan kerjasama awam dan swasta, institusi katalis seperti IGROW dan komitmen peserta itu sendiri.

Pada tahun ini, berkat sabar mengharungi cabaran gerak kerja IGROW membangunkan ekonomi komuniti seperti di Perak Tengah telah mendapat kepercayaan pelbagai pihak untuk membangunkan model yang sama secara serentak di seluruh Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Johor.

Sebenarnya model MKMF dan kesinambungannya bersama IGROW turut dikagumi di peringkat antarabangsa hingga delegasi kerajaan yang pernah melawat sendiri IGROW kagum dan mahu bekerjasama dengan model ini. Bukan mudah untuk penulis meyakinkan masyarakat antarabangsa seperti Australia, China, Jepun, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Singapura tetapi hakikatnya penulis sudah melakukannya.

Allahyarham Ali Hamsa ketika merasmikan program MKMF pada 25 April 2013 di Kampung Gajah, Perak berkata, program bersifat outreach perkhidmatan awam sangat penting supaya penjawat awam dapat mendengar sendiri isu rakyat, menyampaikan maklumat dengan berkesan dan terlibat secara langsung dengan gerak kerja peringkat masyarakat.

Apabila kerajaan menganjurkan program Outreach TVET pada 1 April 2022 baru-baru ini, penulis terkenang nostalgia hampir 10 tahun lalu ketika era Allahyarham  Ali Hamsa sebagai KSN.

Dengan pelbagai task baru yang sedang digerakkan oleh penulis bersama kerajaan ketika ini, modelnya berasaskan kepada pencapaian komuniti ekonomi IGROW di Perak Tengah.

Walaupun difahamkan, MKMF sudah ditamatkan baru-baru ini, kesinambungan pembangunan Pulau Tiga  dapat dilihat dengan jelas. Manakala modelnya yang semakin menjadi rujukan dan kaedah perlaksanaan baru pelbagai pihak akan menjadi pengajaran kepada semua pihak tentang kejayaan dan kegagalan sesuatu dasar kerajaan.

Semuanya berkisar tentang halatuju dasar kerajaan yang jelas, penghayatan, kesungguhan  dan komitmen penjawat awam, sikap dan kerjasama pemimpin semua peringkat  serta keupayaan stake holder untuk menjayakan peluang yang ada.

Sebenarnya MKMF Pulau Tiga berpotensi berkembang dengan lebih pantas tetapi kekangan isu kepimpinan tempatan telah merugikan peluang keemasan yang ada untuk dimajukan ketika era Ali Hamsa sebagai KSN.

Biarpun penulis baru dimaklumkan tentang penamatan program MKMF oleh MAFI serta berita pemergian Allahyarham Ali , namun penulis berazam untuk meneruskan legasi ini sebaik mungkin.

Semoga lawatan Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang dijangka oada 28 Mei depan ke IGROW, Pulau Tiga, Kampung Gajah akan membawa satu sinar baru kepada kami anak Pulau Tiga yang akan menggegarkan dunia pada masa depan.

Sesungguhnya, Allahyarham Ali Hamsa telah memberikan banyak pengalaman kepada penulis tentang seni menggerakkan jentera kerajaan dengan proses dan prosedur yang perlu dipatuhi. Daripada peringkat bawahan hinggalah yang paling tinggi seperti KSN.

Semoga saranannya juga agar saya membukukan hasil tulisan Randau ini akan saya realisasikan dalam masa terdekat.

Kebetulan Allayarham Ali dikebumikan hari ini (25 April 2022) – tarikh sama perasmian MKMF Pulau Tiga pada 25 April 2013. Jasanya kepada Pulau Tiga akan dikenang dan diabadikan selamanya.

Al-Fatihah buat Tan Sri Ali Hamsa.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor buka tirai Sabtu ini, keputusan bakal status quo?

GENDANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bakal dipalu secara rasmi Sabtu ini apabila tirai proses penamaan calon dibuka...

More Articles Like This