uyaina arshad

“Kena tebuk tiga lubang pada perut, bukan satu benda yang normal dan biasa-biasa sakitnya.” Demikian kongsi pelakon dan pengacara Uyaina Arshad yang baharu selesai menjalani pembedahan membuang appendiks pada 11 April lalu.

Lebih perit lagi, Uyaina disaat sedang hamil anak pertama dan menganggap ujian dan pengorbanannya untuk bergelar seorang ibu.

“Alhamdullilah kesihatan saya semakin pulih. Kalau ikutkan masih terasa kesakitannya itu sehingga sekarang. Bayangkan, nak terlalu bebas bergerak pun tak boleh terlalu lasak sangat.

“Saya masih dalam pemantauan doktor. Saya bersyukur sangat sebab bayi dalam kandungan sihat,” kata Uyaina kepada URTV.

Uyaina ditemui ketika majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2022 di Nexus, Bangsar South, baru-baru ini.

Sementara itu, isteri kepada pelakon Raja Syahiran itu turut berkongsi rasa kecewa kerana tidak dapat berpuasa penuh pada tahun ini memandangkan dia perlu menjalani rawatan selain perlu makan ubat mengikut masa yang ditetapkan.

“Setakat ini saya masih dalam proses rawatan dan perlu makan ubat-ubatan mengikut saranan doktor.

“Agar ralat dan sedih sebab tahun ini tak dapat berpuasa penuh disebabkan masalah kesihatan.

“Minggu pertama berpuasa, alhamdulillah saya dapat berpuasa penuh. Tetapi masuk hari kelapan, saya kena apendiks dan sehingga ke hari inilah saya tak dapat puasa penuh,” ungkapnya.

Sebelum ini, Uyaina menjalani pembedahan membuang apendiks selepas mengalami kesakitan teruk pada bahagian bawah perut di sebelah kanan.

Kemudian, selepas beberapa hari selepas menjalani pembedahan apendiks, Uyaina yang hamil tiga bulan sekali lagi diuji apabila doktor memaklumkan dia mengalami keradangan pada dinding rahim.

Terdahulu, sehari sebelum umat Islam berpuasa, Uyaina berkongsi berita gembira dan mengesahkan dirinya hamil anak sulung.

Untuk rekod, Uyaina dan Raja Syahiran yang juga merupakan penyanyi bernikah di Colony Star Boulevard di ibu negara pada 20 Disember tahun lalu.