Masih berbaki kurang lima hari untuk mengejar Lailatul Qadar.

Ikuti penjelasan dan kelebihan malam lebih baik dari 1000 bulan ini. Semoga kita mendapat manfaat bersama.

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan tentang Lailatul Qadar dan kelebihannya?

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Para ulama’ berpendapat, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam al-Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Hal ini, adalah berdasarkan kepada beberapa nas, antaranya ialah firman Allah SWT:

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Maksudnya: “Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.[1]

Ibrahim al-Nakha‘i ketika menafsirkan ayat ini berkata: “Beramal pada malam tersebut (Lailatul Qadar) lebih baik daripada beramal pada seribu tahun.”[2]

Antara kelebihan malam tersebut ialah :

Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa Lailatul Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulama’ dan ahli tafsir berpendapat amalan yang dilakukan pada malam ini (Lailatul Qadar) lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya Lailatul Qadar. Hal ini, disokong oleh Abu al-‘Aliyah.

Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut. Imam al-Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.”

Turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan.

Mendapat keselamatan dan kebaikan tanpa sebarang kejahatan hingga terbitnya fajar. Al-Dhahhak berkata: “Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan.” Manakala Mujahid pula berpendapat: “Ia merupakan malam yang selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.”[3]

Oleh itu, hendaklah kita melakukan amalan ibadat dengan bersungguh-sungguh dan tidak mengabaikannya. Penuhilah ia dengan Qiamullail, bacaan al-Quran, zikrullah, munajat dan doa, khususnya memohon keampunan dan rahmat daripada-Nya.

Paling kurang pastikan solat fardhu kita dilakukan secara berjemaah. Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan bahawa sebahagian ulama’ mazhab Syafi‘i menaqalkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya: “Menghidupkan malam Lailatul Qadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat Isya’ secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh juga secara berjemaah.” Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: “Sesiapa yang bertemu dengan Lailatul Qadar bermaksud (yang mendirikan solat) secara berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperoleh kebaikan malam itu.” Begitu jugalah yang dikatakan oleh Imam al-Syafi‘i dalam qaul qadimnya: “Sesiapa yang mendirikan solat Isya’ dan Subuh pada malam Lailatul Qadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya.”[4]

Justeru, marilah kita memperbanyakkan amalan soleh pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan ini dalam usaha kita untuk memburu Lailatul Qadar. Semoga kita semua meraih malam Lailatul Qadar. Amin.

Wallahu a’lam.”

Sumber : Maktabah Al Bakri