Malam Lailatul qadar adalah termasuk malam yang sangat dinantikan oleh umat Islam kerana malam tersebut lebih baik dari 1000 bulan. Seribu bulan mengikut perkiraan adalah selama 83 tahun 4 bulan.
Allahu! tidak dapat digambarkan bagaimana beruntungnya kita jika dapat menemui malam tersebut. Hanya insan-insan terpilih yang benar-benar beroleh keistimewaan ini. Antara tanda-tanda malam Lailatulqadar sebagaimana yang disebut dalam hadis ialah:
Pertama: Berlaku pada 10 malam terakhir
Pada 10 malam terakhir Baginda s.a.w. akan melipat gandakan amal ibadahnya. Sebagaimana sabda Baginda s.a.w.
“Carilah Lailatulqadar pada sepuluh malam yang terakhir dari bulan Ramadan” (HR Bukhari)
Kedua: Berlaku pada malam-malam ganjil
Kedatangan Lailatulqadar lebih mungkin terjadi pada malam-malam ganjil. Ini seperti yang disebutkan Baginda s.a.w.
“Carilah lailatul Qadar di malam ganjil dari sepuluh malam yang terakhir di bulan Ramadan” (HR Bukhari)
Ketiga: Tidak panas dan tidak dingin
Ibnu Abbas meriwayatkan Baginda s.a.w. bersabda,
“Lailatulqadar adalah malam yang penuh kemudahan dan kebaikan. Tidak begitu panas dan tidak begitu dingin. Pada pagi hari matahari bersinar tidak begitu cerah dan nampak kemerah-merahan yang begitu menghangatkan dan menenangkan” (HR al-Baihaqi)
Keempat: Suasana malam yang berbeza
Suasana malam terasa sejuk, terang, tidak berawan, tidak ada hujan dan angin berhembus lembut. Dari Watsilah bin Asqo’ dari Nabi s.a.w.
“Lailatulqadar adalah malam yang terang, tidak panas, tidak dingin, tidak ada awan, tidak hujan, tidak ada angin kencang dan tidak ada yang dilempar pada malam itu dengan bintang (lemparan meteor bagi syaitan)” (HR Thabrani)
Kelima: Bulan muncul
Munculnya bulan dengan penampakan separuh. Abu Hurairah r.a. pernah berkata,
“Kami pernah berbincang tentang Lailatulqadar di sisi Rasulullah s.a.w. beliau berkata, “Siapakah dari kalian yang masih ingat tatkala bulan muncul yang berukuran separuh nampan” (HR Muslim)
Keenam: Malam cerah
“Malam itu adalah malam yang cerah iaitu malam 27 Ramadan. Dan tanda-tandanya pada pagi harinya matahari terbit berwarna putih tanpa memancarkan sinar ke segala penjuru” (HR Muslim)
Ketujuh: Cahaya matahari pagi tidak terik
Cahaya matahari cerah dan lebih lembut. Sinarnya tidak menyengat hingga siang hari. Dari Ubay bin Kaab r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Keesokan hari malam Lailatul Qadar matahari terbit hingga tinggi tanpa sinar terang” (HR Muslim)
Kelapan: Perasaan terasa tenang
Umat yang sedang beribadah pada ketika Lailatulqadar akan merasa sesuatu yang indah (perasaan bahagia, tenang dan kenikmatan saat munajat) Ia berbeza dengan malam-malam yang lain.
Itulah tada-tanda yang disebutkan oleh Baginda s.a.w. dan para ulama apabila bertemu dengan malam al-Qadar. Wallahu a’lam
_________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

