PENYANYI yang mahu dikenali sebagai Cheta Potpet menyangkal dakwaan sesetengah netizen yang menuduh dirinya tidak boleh menyanyi dan menggunakan ‘auto-tune’.
Cheta atau nama sebenarnya Rozita Baharom,35, yang tampil dengan single sulung berjudul Aku Yang Kau Mahu itu yakin memiliki bakat dalam bidang seni suara selain mempunyai pengalaman menyanyi selama tiga tahun bersama kumpulan Tribute Crew.
“Saya merakamkan single AKu Yang Kau Mahu dengan syarikat rakaman Rusa Music. Saya terima banyak komen daripada netizen yang cakap ‘dia banyak duit jadi boleh menyanyi guna auto-tune’.
“Pendapat saya, hak saya untuk buat apa sahaja memandangkan itu duit sendiri. Cuma yang penting saya memang boleh menyanyi bukan sengaja nak kejar glamor.
“Saya pernah menyanyi dengan Tribute Crew dan membuat persembahan di Hard Rock Cafe, Pulau Pinang selama tiga tahun. Ketika itu saya baharu berusia 21 tahun.
“Walaupun bukan dalam acara besar, tetapi sekurang-kurangnya saya tak malu dan takrasa segan untuk menyanyi di hadapan orang ramai,” katanya kepada URTV.
Bercerita lanjut tentang single Aku Yang Kau Mahu, anak keempat daripada lima beradik ini berkata, lagu tersebut dirakam hampir dua tahun lalu.
“Lagu Aku Yang Kau Mahu dihasilkan bersama Aepul Roza dan saya turut terlibat dalam penghasilan lirik. Lagunya berentak ‘fast’ dan rasanya genre itu serasi dengan tone suara saya. Sudah pun ada di YouTube Rusa Music dan hingga kini menerima lebih 52,000 tontonan.
“Tak sangka juga kerana saya bukanlah siapa-siapa dalam industri seni. Lagu pun tak keluar radio tapi tontonan boleh cecah puluhan ribu.
“Mungkin percubaan pertama saya ini ada yang terkurang. Tapi saya optimis sebab daripada situ kita boleh kenal pasti apa yang boleh kita tambah baik.
“Insya-Allah selepas ini saya rancang untuk terbitkan single kedua pula. Mungkin nak cuba genre rock dangdut,” katanya lagi.
Demi menonjolkan bakat nyanyian, Cheta yang juga pengasas produk Secret Desire sebelum ini pernah menyertai uji bakat program realiti Akademi Fantasia musim keempat.
“Awalnya dulu memang cita-cita saya nak jadi penyanyi tapi mungkin belum rezeki saya nak berada dalam industri.
“Pengalaman uji bakat AF 4 dulu adalah momen terbaik dalam hidup saya. Walaupun hanya mampu bertahan sampai peringkat kedua sebelum tersingkir, saya tak patah semangat.
“Saya teruskan juga menyanyi sebab ramai yang cakap saya boleh menyanyi,” kongsinya.
Ditanya mengenai dakwaan sesetengah pengasas kosmetik yang hanya buat lagu tangkap muat demi publisiti, Cheta bersikap terbuka.
“Itu mungkin cara masing-masing. Terpulang dan rasanya peminat kini bijak menilai. Saya sendiri bertahun-tahun ada pengalaman menyanyi secara ‘live’.
“Malah, lagu pertama saya itu pun dibuat kerana minat yang bukan dibuat-buat. Saya memang boleh menyanyi.
“Kalau tak percaya, saya boleh sahut cabaran, nyanyi secara langsung. Sebab mungkin akan ada yang kata, saya guna ‘auto tune’ 100 peratus bagi suara lebih sedap.
“Benda itu memanglah ada, cuma banyak atau tidak sahaja. Tak percaya dengarlah lagu tu dan nilaikan,” katanya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

