PENGARAH Jon Watts mengumumkan bahwa dirinya tidak akan mengarahkan filem Fantastic Four terbitan Marvel Cinematic Universe (MCU).
Memetik daripada media antarabangsa Deadline, Jon yang merupakan pengarah kepada tiga buah filem Marvel’s Spider-Man ini menyatakan bahawa ia merupakan pengalaman yang menakjubkan buat dirinya setelah tujuh tahun berkhidmat dengan MCU.
“Membikin tiga filem Spider-Man bermula daripada filem Spider-Man Homecoming, Spider-Man: Far From Home sehingga Spider-Man: No Way Home merupakan pengalaman yang telah mengubah hidup saya.
“Saya sangat bersyukur kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada keluarga MCU selama tujuh tahun.
“Saya berharap kita (bersama MCU) dapat bekerjasama semula pada masa akan datang”, katanya.
Jon yang juga merupakan pengarah filem Cop Car itu turut menyatakan bahawa dirinya tidak sabar untuk menonton hasil akhir Marvel’s Fantastic Four tidak lama lagi.
Presiden dan Presiden bersama Marvel Studios, Kevin Feige serts Louis D’Esposito turut mengesahkan keputusan tersebut dan menyatakan mereka tidak menyimpan perasaan buruk terhadap pengarah berusia 40 tahun itu.
“Berkolaborasi bersama Jon dalam tiga filem Spider-Man merupakan sebuah penghormatan buat diri kami.
“Kami memang mahukan kerjasamanya untuk Fantastic Four tetapi kami juga menghormati dan sentiasa menyokong keputusannya untuk berhenti (mengarah).
“Namun kami sentiasa optimis untuk bekerjasama semula bersama Jon pada masa akan datang”, kata mereka.
Untuk rekod, projek filem terakhir Jon bersama MCU berjudul Spider-Man: No Way Home mengutip 1.89 billion dollar Amerika, sekaligus berada pada carta keenam filem kutipan tertinggi dunia sepanjang masa.

