KECAMAN teruk daripada netizen mengenai muzik video (MV) hari raya yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Aliff Syukri ternyata ‘good marketing’ yang menjadi apabila video tersebut ‘trending’ di laman Youtube!

MV yang berjudul Kelepok Raya itu telah mendapat perhatian ramai, sekaligus meraih lebih 1.7 juta tontonan dalam masa sembilan hari dikeluarkan melalui Youtube Rusa Music.

Walaupun dikecam, ternyata usahawan terkenal itu memanfaatkan unsur ‘good marketing’ daripada netizen melalui muzik video yang berdurasi 5 minit 23 saat itu, sekaligus berada di kemuncak carta trending Youtube.

Untuk rekod, Aliff yang juga merupakan pelantun lagu Abang Nak Tegur itu pernah dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memberi keterangan selepas menerima banyak aduan mengenai MV tersebut.

Melalui ‘posting’ yang dimuat naik Aliff di laman instagramnya, dia mengakui dirinya sebagai artis nombor satu Malaysia dengan membuktikan jumlah tontonan yang diperoleh melalui MV nyanyiannya itu.

“Saya lah artis nombor satu Malaysia, buktinya lagu suara saya trending nombor satu selama lapan hari.

“Sedap yer suara saya ni, asli dan bukan autotune”, katanya melalui kapsyen postingnya itu.

Apa yang lebih menarik, hasil tinjauan URTV mendapati muzik video yang dilancarkan itu memperoleh jumlah tanda suka sebanyak 21 ribu dan lebih 15 ribu jumlah komen sehingga artikel ini ditulis.

Susulan itu, pihak Rusa Music juga telah mengeluarkan versi terbaharu lagu ini yang berjudul Kelepok Raya (Official Music Karaoke) pada 28 April yang lalu.

Dalam perkembangan lain, Aliff akan memfailkan saman sebanyak RM 1 Juta terhadap penerbit dan komposer lagu, Damian Mikhail atas dakwaan memfitnah dirinya.

“Sila padam hantaran anda yang melampau dalam masa 24 jam sebelum surat saman saya hantar kepada anda. Siapa makan cili dia terasa pedas. Sila buat pemohonan maaf secara terbuka dan bertulis.

“Nama saya ya… sila tag mamat itu.. 24 jam tidak ada, tunggu peguam saya buat kerja. Dan pastikan buat pemohonan maaf beserta video. Kalau tidak saman tetap berjalan. Lain kali nak megutuk pun guna otak,” tulis Aliff di Instagram storynya.

Tegas Aliff lagi, dia tidak mempunyai sebarang masalah jika ada pihak yang mahu mengutuk suaranya.

Pun begitu, unsur fitnah yang sengaja dibangkitkan Damian, adalah satu dakwaan yang tidak berasas terhadap dirinya.

“Sebenarnya saya tiada masalah dengan sesiapa pun sama ada artis atau orang biasa yang mengutuk mahupun menghina suara saya. Suara itu adalah seni, ada orang suka dan tidak suka.

“Jika sudah melibatkan diri saya, yang saya tidak buat dan awak memfitnah. Menyebut pula nama saya dan perkara tersebut boleh menjadi satu bukti di mahkamah di mana saya tidak melakukan perkara tersebut. Tindakan boleh dilakukan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Damian menerusi posting di Instagram mendakwa usahawan berkenaan hanya mahu ‘memondan’ berkenaan MV Kelepok Raya yang dihasilkan sehingga mendapat kecaman netizen.