Perbuatan ikhlas Allah bantu
Sekadar gambar hiasan

Berbicara perihal ikhlas, menurut Dr. Fadlan Mohd. Othman Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), suka untuk mengambil pendapat yang dikemukakan oleh Imam al-Nawawi.

Imam al-Nawawi mengatakan, “Seseorang manusia itu disunatkan untuknya berdoa semasa ditimpa musibah dan semasa meminta hujan. Doa itu adalah dengan menyebut amalan soleh yang pernah dilakukan. Iaitu ia bertawasul dengan amalan soleh di dalam doanya.

Dr. Fadlan menghuraikannya dengan bahasa yang lebih mudah iaitu menurut pendapat Imam Nawawi jika ada musibah, berlaku perkara terdesak dan meminta hujan, disunatkan berdoa dan menyebut amalan soleh yang pernah dilakukan. Ia membawa maksud kita berdoa dan bertawasul kepada amalan soleh yang pernah dilakukan untuk mendapatkan bantuan dari Allah.

Amalan soleh yang dimaksudkan adalah apa saja perbuatan yang dilakukan penuh dengan keikhlasan kerana Allah. Dan, bertawasul pula adalah menjadikan amalan soleh itu sebagai pengantara kita dengan Allah semasa berdoa.

Ia dibolehkan kerana ketika Nabi sebut perkara itu Nabi tidak marah malah memuji. Apabila sebut dan puji, itu bermakna amalan itu adalah suatu yang digalakkan dan boleh dibuat.

Adapun amal perbuatan yang dilakukan dengan ikhlas maka ia mendapat pelbagai ganjaran dari Allah antaranya:

Pertama: Menutup pintu musibah.

Amalan yang benar-benar ikhlas boleh membantu semasa kita menghadapi musibah. Setiap orang, amalan ikhlasnya berbeza. Setiap pekerjaan yang dilakukan adalah berbeza antara satu sama lain mengikut kepakaran masing-masing.

Ikhlas yang dikira oleh Allah tidak semestinya di dalam hal-hal ibadat saja iaitu seperti solat, puasa, zakat, sedekah dan haji. Ia juga merangkumi semua perbuatan yang kita lakukan seharian.

Contohnya berbakti atau berbuat baik kepada kedua ibu bapa, pasangan hidup atau kepada keluarga sendiri. Selain itu tindakan menahan nafsu dari melakukan perbuatan maksiat juga merupakan satu perkara yang mendatangkan pahala kerana ikhlas itu bukan di dalam soal ibadat saja tetapi juga di dalam hal meninggalkan maksiat.

Kedua: Adanya karomah para wali.

Menurut Imam Nawawi, terdapat satu hadis yang menyebut tentang 3 orang lelaki terperangkap dalam gua kerana pintunya ditutup oleh batu yang besar. Lalu ketiga-tiga lelaki ini berdoa dan bertawasul dengan menyandarkan pada amal kebaikan yang mereka lakukan dengan ikhlas bagi membuka atau menggerakkan batu tersebut.

Melalui hadis itu, telah menunjukkan kepada adanya karomah para wali. Ini adalah ikutan golongan yang berpegang kepada kebenaran. Maksudnya sebenar karomah itu adalah berasal dari perkataan karam. Begitu juga nama Allah,  Al-Karim yang bermaksud Maha Pemurah.

Maka al-Karam itu adalah sifat kemurahan atau kebaikan kepada orang lain yang senang membantu orang lain yang disebut al- Karim. Bila sebut karam juga membawa maksud mulia dari sudut pemberian. Apabila disebut karomahtul aulia itu membawa maksud wali Allah yang mendapat kemuliaan daripada Allah. Maksudnya wali itu sendiri ada dua iaitu wali Allah dan satu lagi wali syaitan.

Hadis menunjukkan wali Allah iaitu orang yang beriman dan bertakwa, mereka boleh diberikan kemuliaan oleh Allah. Maksud kemuliaan di sini adalah, Allah berikan sesuatu yang di luar kebiasaan.

Seperti halnya batu besar yang menutup pintu gua itu tidak boleh ditolak dengan kudrat manusia. Ia hanya boleh digerakkan dengan kuasa doa dan bertawasul dengan amalan yang betul-betul ikhlas. Allah berikan sesuatu yang luar biasa untuk menolong sebagai menunjukkan kemuliaan orang tersebut.

Sebagai contoh hadis lain yang menyebutkan Umar Al Khattab ketika sedang berkhutbah ia berkata,

“Wahai Syariah berlindunglah pada bukit!” tiga kali Umar berkata demikian kemudian ia menyambung khutbahnya. Umat Islam yang mendengar khutbahnya ketika itu merasa pelik. “Wahai Umar! Mengapa kamu berkata berlindung pada bukit?”  Lalu Umar menjawab,

“Tidak, aku tidak mengatakan demikian.”

Berkali-kali sahabatnya mengatakan bahawa Umar memang menyebut perkara itu. Sebenarnya Allah jadikan supaya Umar mengatakan perkara itu sedangkan dia tidak perasan. Pada masa itu Panglima perangnya, Syariah di Iraq mendengar kata Umar,

“Ya Syariah berlindunglah pada bukit.!”

Maka Syariah pun mengarahkan tenteranya memanjat bukit. Sebulan kemudian Syariah kembali dari medan perang dan bertemu dengan Umar.

“Wahai Umar, aku mendengar suara mu pada hari itu.”

Itulah yang dikatakan  karomah yang dikurniakan oleh Allah. Orang yang ikhlas itu senang  mendapat bantuan daripada Allah ketika diperlukan dan di dalam keadaan yang terdesak. Caranya, ketika berdoa di saat menghadapi musibah itu disebutkan sekali amalan ikhlas yang pernah dilakukan. Apa saja amalan yang diyakini ikhlas. Wallahu a’lam

_______________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare