KULIT merupakan deria manusia yang paling sensitif. Melalui kulitlah kita merasai rangsangan sakit, panas, sejuk dan tekanan.

Sebelum era perubatan moden, manusia percaya bahawa seluruh tubuh manusia mampu merasai kesakitan. Mereka menganggap setiap inci tubuh manusia mempunyai saraf deria rasa, termasuk di bahagian organ dalaman, otot dan tulang.

Pemahaman manusia pada ketika itu menganggap kulit adalah organ permulaan yang akan merasa sakit, sebelum kesakitan tersebut menular ke bahagian lain.

Sekalipun kebanyakan doktor pada era tersebut sudah mempelajari mengenai kewujudan saraf tertentu yang mengirimkan rasa sakit ke otak, namun corak kajian mereka masih terkongkong dengan pemahaman lama.

Sehinggalah pada pertengahan abad ke-19, ketika ubat bius ditemui, persepsi saintis terhadap kesakitan mula berubah. Setelah kajian demi kajian dijalankan, sains moden hari ini berjaya menjelaskan bahawa struktur kulit manusia bukan sekadar mempunyai lapisan lemak dan kelenjar peluh, tetapi juga urat-urat saraf yang bertanggungjawab mengesan deria sakit, panas, sejuk dan deria tekanan.

Secara anatomi, struktur kulit manusia terdiri daripada tiga lapisan global iaitu epidermis, dermis dan subkutin. Pada bahagian subkutin, terdapat banyak penghujung pembuluh darah dan saraf.

Dari sudut sains, sekiranya terjadi kerosakan pada bahagian subkutin itu yang disebut Combustio Grade III – luka yang disebabkan oleh kebakaran, seseorang itu tidak akan lagi merasa sakit. Ini kerana, saraf tidak lagi mampu untuk berfungsi kerana mengalami kerosakan yang ketara.

Isyarat mengenai fakta tersebut telah dijelaskan oleh Allah secara tersirat di dalam Al-Quran melalui surah An-Nisa’, ayat 56.

Firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang kufur dan ingkar kepada ayat-ayat Kami, Kami akan membakar mereka di dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan kulit baru supaya mereka dapat merasakan azab sengsara…” (An-Nisa’ : 56).

Dalam ayat tersebut Allah menyatakan kepada kita bahawa kulit adalah bahagian tubuh yang akan menerima hukuman. Mengapa Allah menyebut tentang kulit tetapi tidak tulang atau bahagian-bahagian lain? Ini kerana, sains menyatakan bahawa deria sakit manusia hanya ada pada kulit semata-mata, tetapi tidak pada bahagian lain.

Apabila kulit hangus dan berlaku kecederaan otot-otot serta tulang-temulang di bawahnya, kulit akan hilang kekenyalan dan akan menjadi keras serta kering. Dalam situasi ini, bahagian yang terbakar itu tidak lagi berasa sakit kerana urat-urat saraf yang menghantar isyarat sakit telah musnah sama sekali.

Apa yang menyebabkan ayat Al-Quran tersebut bersifat saintifik ialah Allah menjanjikan kulit manusia yang dibakar hangus dalam api neraka akan diganti baru untuk memberikan azab yang berulang-ulang.

Dalam konteks sains, sekiranya kulit tersebut tidak diganti, sudah pasti seseorang itu tidak lagi akan berasa sakit. Disebabkan itulah, Allah menumbuhkan kembali kulit yang rosak ketika Dia menyeksa hambaNya yang kufur, supaya dapat merasakan azab yang pedih.

Bukan itu sahaja, malah secara tersiratnya ayat tersebut juga menerangkan kepada kita tentang fungsi kulit manusia secara terperinci, serta kerosakan saraf deria pada kulit hanya boleh terganggu jika ia terbakar sahaja.

Dalam satu ayat yang lain pula, Allah menggambarkan kepada kita bagaimana keadaan seorang yang diseksa menggunakan air panas yang menggelegak sehingga terputus usus-usus di dalam perut.

Firman Allah yang bermaksud, “… Dan diberi minum dengan air yang menggelegak sehingga menyebabkan usus mereka hancur?…” (Surah Muhammad : ayat 15).

Melalui ayat ini, Allah sekali lagi menerangkan kepada kita bahawa saraf sakit hanya berada pada kulit tetapi tidak pada usus. Perkara ini juga berjaya dibuktikan secara saintifik apabila saintis mendapati usus kecil tidak mempunyai reseptor. Sebaliknya, reseptor hanya terdapat di antara peritoneum dan lapisan luar usus, dan di kawasan ini mengandungi banyak organ kecil yang dikenali sebagai pacini.

Justeru, usus tidak akan terpengaruh dengan haba air panas yang menggelegak. Bagaimanapun, manusia hanya akan berasa sakit sekiranya usus tersebut putus atau bocor dan air mendidih mengalir keluar ke tempat antara peritoneum dan lapisan luar usus. Bahagian ini mengandungi banyak saraf yang akan mengirim rasa sakit ke otak, dan demikian manusia akan mengalami sakit yang tidak terperi.

Begitulah antara kehebatan ayat-ayat Al-Quran yang mendahului zaman.

INFO KULIT :

  • Kulit melindungi organ dalaman daripada unsur-unsur luar seperti suhu ekstrem, sinar untra ungu dan bahan kimia berbahaya.
  • Kulit juga membantu menahan air dan menghasilkan protein dan vitamin.
  • Secara purata orang dewasa memiliki sekitar 3.6 kilogram atau kira-kira 22 kaki persegi (6.7 meter persegi) kulit.
  • Kulit adalah organ yang terus berkembang dan selalu berubah sepanjang hidup kita. Bahkan, manusia menanggalkan sekitar 40,000 sel kulit per minit setiap hari.
  • Kulit mengalami pembaharuan setiap 35 hari sekali. Bermakna ketika seseorang berumur 20 tahun, ia mengalami pergantian kulit sebanyak 200 kali.
  • Epidermis adalah lapisan luar kulit yang memberikan pigmen dan menghasilkan sel-sel kulit baru sebagai pengganti sel-sel yang sudah mati.
  • Dermis adalah lapisan tengah, merupakan tempat mengesan rasa sakit dan mengandungi reseptor sentuhan seperti pembuluh darah, folikel rambut, kolagen dan elastin.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/