BUKU berjudul Hit Man: A Technical Manual for Independent Contractors’ diterbitkan oleh Paladin Press di Amerika Syarikat pada tahun 1983.

“Cara terbaik membunuh dengan tembakan adalah dilakukan pada jarak dekat. Akan tetapi, berdirilah sekurangnya satu meter daripada mangsa agar tidak terpercik darah. Untuk memastikan mangsa benar-benar mati, tembak ke arah matanya sebab tembakan ke arah bahagian yang lain masih memungkinkan mangsa boleh lagi hidup.” – Itu sebahagian isi dalam buku ini yang menceritakan sebahagian panduan dan langkah bagaimana hendak membunuh orang.

Pada Januari 1992, seorang lelaki bernama James Perry telah membeli buku tersebut dengan harga $10. Pada Mac 1993, dia telah membunuh tiga orang orang mangsa iaitu Trevor Horn yang berusia 8 tahun, Mildred Horn (seorang ibu) dan Janice Saunder (si pengasuh).

Ketiga-tiga mangsa ditembak mengikut cara yang ditulis dalam buku tersebut. James Perry sebenarnya diupah oleh Lawrence Horn, bekas suami Mildred, dengan harapan untuk mendapatkan insurans jika anaknya mengalami kecelakaan. Tetapi, ia berakhir sebaliknya.

Buku ‘Hit Man’.

Lawrence dihukum manakala James Perry dijatuhkan hukuman mati. Dalam perbicaraan juga menunjukkan James Perry telah mengikuti sekurang-kurangnya 20 panduan untuk membunuh seperti dalam buku Hit Man.

Walaupun kedua mereka telah dihukum, keluarga mangsa masih tidak berpuas hati lalu menuntut penerbit buku tersebut ke muka pengadilan dengan dakwaan terlibat pembunuhan.

Pihak penerbit pula melawan semula dengan mengatakan mereka dilindungi oleh pindaan pertama perlembagaan Amerika Syarikat, di mana kebebasan bersuara biasanya melindungi ‘kebebasan mengungkapkan apa saja’.

“Sebagai manusia, saya sedih ada mangsa kekerasan fizikal. Tetapi, sebagai penerbit dan seorang yang pragmatik, saya sama sekali tidak bertanggungjawab atas penyalahgunaan maklumat,” kata Peder Lund, bos Paladin Press.

Sejak ditubuhkan pada 1970 oleh Peter Lund dan rakan kongsinya, Robert Brown, Paladin Press banyak menerbitkan buku yang berbau kekerasan dan keganasan.

Tidak hairanlah kerana Peder Lund sendiri adalah bekas kapten pasukan elit Baret Hijau, manakala rakan kongsinya Brown pula juga seorang bekas tentera.

Namun, kedua rakan itu berpecah pada tahun 1974. Robert Brown kemudian menerbitkan majalah Soldier of Fortune. Terbitan pertama saja sudah terkandung tentang panduan praktik perang gerila yang ditulis Jeneral Alberto Bayo, seorang komunis veteran perang saudara Sepanyol dan pelatih Fidel Castro.

Selepas berpecah dengan Peder, Brown menerbitkan majalahnya sendiri.

Paladin Press telah menerbitkan ratusan buku. Kebanyakan bukunya memang terasa ‘seram’ bila melihat judul-judulnya.

Salah satunya adalah buku berisi petunjuk praktikal membuat bom menggunakan amonium nitrat yang pernah digunakan oleh Timothy McVeigh ketika meletupkannya di Oklahoma City yang memakan korban 168 orang.

Tragedi bandar Oklahoma yang diletupkan oleh Timothy Mcveigh.

Paladin Press turut menerbitkan beberapa buku lain misalnya, panduan praktik membuat ‘bazooka’, pelontar roket, mortar, membuat penyesuaian senjata yang boleh dijual secara bebas, mengubah alat permainan menjadi senjata yang berbahaya dan tema-tema lain yang sedemikian.

Jika hendak menjadi jaguh berkelahi dengan bermain pisau, bacalah ‘Knife Fighting: A Practical Course’ atau ‘Battle Blades: A Professional’s Guide to Fighting Knives’.

Jika hendak menjadi penembak upahan, baca buku ‘Ultimate Snippers’. Jika berminat menjadi detektif persendirian, bacalah ‘A Self-Study Guide on Be coming a Private Detective’. Jika seseorang ‘buruan’ ingin selamat, baca tekniknya dalam buku ‘Fugitive: How to Run, Hide and Survive’.

Begitulah antara buku-buku terbitan syarikat ini, maka tidak hairan jika ia mendorong pembaca yang obses lalu mencuba taktik-taktik yang ditulis dalam buku tersebut.

Bukan hanya berdepan zaman dari keluarga kes bunuh yang dilakukan James Perry pada 1993, Paladin Press menerima satu lagi saman berkaitan kes pembunuhan tiga beranak oleh Dana Ewell pada 1992. Pembunuh upahan kes tersebut juga didapati menggunakan buku Hit Man sebagai ‘panduan’ untuk menembak mangsa.

Selepas kontroversi buku Hit Man itu, Peder akur lalu dia menutup syarikat Paladin Press. Namun, pada tahun 2006, Peder mengumumkan mendapat hak untuk mencetak semula buku-buku lama terbitan Loompanics Unlimited.

Peder kemudian menubuhkan syarikat pencetakannya dan mencetak semula buku-buku lama yang berkonsepkan perang, kombat, tembakan dan pertahanan diri.

Pada 3 Jun 2017, Peder Lund meninggal dunia semasa dalam percutian di Finland. Kematiannya akhirnya mengakhiri percetakan buku-buku tersebut apabila syarikatnya turut ditutup selepas kematiannya.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/