tidur waktu malam

Salah satu maqasid syariah dalam Islam adalah menjaga nyawa dan kesihatan. Oleh itu bagi yang bekerja mengikut syif malam, sekalipun mereka bekerja selama lapan jam dan esok siangnya cuba pula untuk menggantikan kembali tidur waktu malam, pasti ia tidak akan dapat mencapai kualiti tidur yang sama sepertimana tidur pada waktu malam. Ini disebabkan pada waktu siang hormon circardian sedang pada paras yang tinggi dan aktif.

Dalam masa yang sama juga, mereka yang bekerja pada waktu malam, sudah pasti akan cuba merangsang dan mengembalikan tenaga yang sudah semakin kurang dengan mengambil kopi atau pun merokok. Apabila dua bahan itu diambil dengan tujuan menjana tenaga bagi mengekalkan kesegaran sepanjang malam ketika waktu bekerja, dan tidak mendapat tidur yang sebaiknya, sudah tentu ia memberi kesan yang buruk pada tubuh.

“Situasinya sama juga dengan melakukan riadah pada waktu malam. Walau mungkin mereka tidak mengambil kopi atau merokok, tetapi kerana penggunaan tenaga yang maksimum seperti bermain futsal, berbasikal dan sebagainya. Secara langsung aktiviti ini memberi mudarat pada tubuh, ujar Dr. Mohd Sufian Adenan, Pegawai Perubatan Jabatan Neurologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Berkongsi pula rutin syif malam yang diamalkan di hospital, Dr. Sufian Adenan menjelaskan bagi jururawat yang mengambil syif kerja malam biasanya pihak hospital akan hadkan waktu bekerja hanya untuk tiga malam berturut-turut sahaja.

Kemudian mereka akan diberi cuti selama tiga hari untuk mengembalikan semula putaran ritma hormon yang tidak stabil tadi. Selepas tiga hari bercuti barulah mereka akan kembali bekerja pada waktu siang. Ini dapat membantu tubuh mereka kembali kepada rutin asal.

“Saya tidak pasti bagaimana rutin pertukaran kerja di tempat lain seperti di kilang, namun di sini, begitulah rutin yang kami laksanakan bagi mengekalkan kualiti kerja.”

Berkongsi lanjut, Dr. Sufian mengakui bagi yang kerap mengubah rutin normal yang ditetapkan dengan melakukan aktiviti berlebihan dan mengambil pula bahan-bahan rangsangan, ia mempunyai kesan sampingan jangka panjang yang boleh memudaratkan diri seperti risiko kemurungan, serangan jantung, keletihan, tidak bermaya, strok, obesiti dan berbagai lagi penyakit lain.

Artikel berkaitan: Benarkah tidur juga dianggap ibadah

Dalam hal ini sebenarnya Baginda s.a.w. telah menunjukkan suri tauladan yang paling baik kerana Baginda tidak pernah tidur waktu siang kecuali sebelum Zohor (Qailulah). Itu pun tidaklah lama, hanya sekitar sepuluh atau lima belas minit sahaja. Kita pula sebaliknya, bukan beberapa minit tetapi sehingga beberapa jam.

Sindrom Owl

Menyentuh mengenai kajian yang dilakukan itu juga, kata Dr. Sufian, golongan remaja dalam kategori belasan dan awal 20-an sebenarnya mempunyai hormon circadian yang masih belum stabil. Golongan ini masih mencari-cari dan cuba mengatur hormon circadian kepada ritma yang normal.

Justeru itu tidak mustahil mengapa mereka masih kekal aktif dan gemar melakukan aktiviti riadah sehingga dinihari. Tidur satu atau dua jam itu sudah memadai bagi mereka.

Mungkin ada sesetengah ibu bapa yang risau melihat perkembangan anak-anak remaja mereka masih segar dan aktif sekalipun jam menunjukkan sudah lewat malam. Namun itu adalah proses yang normal berlaku pada fasa remaja disebabkan hormon yang tidak stabil.

Sebaliknya ketika fasa bayi, lazimnya mereka akan kerap tidur. Mencapai usia sepuluh hingga dua belas tahun pun masih perlukan tidur yang panjang. Namun apabila menginjak usia remaja, mereka sudah mula kurang tidur dan menjadi aktif kerana perubahan hormon yang berlaku. Seolah-olahnya hormon tadi sedang terperangkap di tengah-tengah antara fasa kanak-kanak dan fasa dewasa.

Sindrom owl kerap dialami oleh remaja kerana itu mereka kerap berjaga di waktu malam

Dek kerana itu apabila ibu bapa sudah tidur, anak-anak mereka masih lagi berjaga, tidak kiralah membuat apa pun termasuklah mungkin menonton televisyen atau bermain komputer.

“Istilah yang tepat menggambarkan keadaan ini kita panggil sindrom owl (burung hantu).”

Ironinya sebagai ibu bapa, mereka harus mengetahui dan memahami dengan jelas proses biologi yang berlaku kepada anak-anak. Dari situ mereka boleh membantu atau mendidik anak bagaimana cara yang sebaiknya menyalurkan tenaga aktif itu kepada sesuatu yang lebih baik. 

“Dari sisi positifnya saya lihat elok kiranya ia disalurkan kepada sesuatu yang produktif seperti bermain futsal, gim, berbasikal, atau lain-lain aktiviti riadah yang baik. Dari mereka melakukan perkara yang buruk seperti berpelesiran, melepak, merempit atau lainnya.

“Walau bagaimanapun yang kurang baiknya, lumrah masyarakat kita terbawa-bawa pula tabiat itu hingga ke usia dewasa atau berkeluarga. Pun begitu saya percaya peratusannya tidaklah ramai,” luahnya.

Jika dahulu tiada aktiviti seperti ini, maka tenaga berlebihan ini banyak disalurkan kepada perkara negatif. Tetapi kini terdapat banyak saluran baik yang boleh mereka sertai. Kiranya dalam isu ini ada baik dan buruknya.

Pun begitu, sebagaimana yang dikatakan lebih awal kesan buruknya berlaku dalam jangka waktu yang panjang seperti tidak mendapat rehat yang secukupnya bahkan membantutkan tumbesaran. Wallahu a’lam

__________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare