Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN),semalam. GAMBAR: Ihsan MAFI

MAJLIS Penasihat Pertanian Negara (MPPN) mencadangkan langkah jangka sederhana dan panjang bagi mendepani cabaran sekuriti makanan negara secara komprehensif.

Cadangan itu diutarakan dalam mesyuarat khas MPPN yang dipengerusikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee secara hibrid, semalam.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataan memaklumkan akan mengambil tindakan susulan berkaitan segala cadangan dan pandangan yang telah diberikan dalam mesyuarat tersebut.

Menurut MAFI, sebahagian cadangan termasuk langkah-langkah jangka masa sederhana dan panjang bagi memperkukuh sekuriti makanan akan dibawa untuk pertimbangan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Sekuriti Makanan Negara.

Katanya, mesyuarat tersebut akan dipengerusikan Perdana Menteri pada 30 Mei ini.

“Mesyuarat ini diadakan antara lain untuk mendapatkan pandangan dan cadangan berkaitan isu-isu semasa berkaitan sekuriti makanan negara.

“Selain itu, langkah-langkah intervensi jangka sederhana dan panjang juga telah dibincangkan bagi merangka hala tuju sektor pertanian dan industri makanan mengikut perkembangan serta keperluan semasa secara menyeluruh dan holistik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Tanam jagung, PKC alternatif makanan ayam – PM

MPPN bertindak sebagai penasihat kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan dalam mengenal pasti isu khususnya berkaitan sekuriti makanan dan menyumbang pandangan serta cadangan sesuai bagi memacu hala tuju sektor agromakanan mengikut perkembangan dan keperluan semasa.

Keahlian MPPN bagi sesi 2021/2022 terdiri daripada 15 ahli merangkumi pemain industri, pakar ekonomi, ahli akademik dan individu yang mempunyai kepakaran dalam sektor agromakanan.

MAFI memaklumkan, semua ahli MPPN mengambil maklum langkah-langkah yang telah diambil kerajaan untuk menangani isu sekuriti makanan termasuk pemberian subsidi kepada penternak ayam; pemansuhan permit import (AP); pemberhentian eksport ayam dan pelbagai langkah lain.

“MAFI akan terus mengadakan perbincangan dan libat urus terbuka dengan semua pihak berkepentingan dalam usaha menghadapi cabaran-cabaran semuasa yang mengancam sekuriti makanan negara.

“Ia sekali gus memastikan bekalan makanan negara terus kekal terjamin demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” jelasnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram