BINTANG Hollywood terkenal, Ray Liotta meninggal dunia dalam tidur di Republik Dominican pada usia 67 tahun, semalam.
Berdasarkan laporan CBS News, wakil agensi publisiti, Jeniffer Allen memberitahu Liotta sedang menjalani penggambaran filem Dangerous Waters bersama Eric Dane, Odeya Rush dan Saffron Burrows.
“Kami sedih mengetahui pemergian Liotta.
“Ia adalah satu kehilangan besar. Salam takziah kepada ahli keluarga, tunang dan anak perempuannya,” kata penerbit filem Dangerous Waters.
Liotta pernah bergandingan dengan pelakon terkemuka Hollywood iaitu Robert De Niro dan Joe Pesci dalam sebuah filem yang dikenali ramai sekitar tahun 1990 iaitu Goodfellas.
Hasil lakonan mantap mereka, filem Goodfellas telah memenangi satu Anugerah Oscar dan dicalonkan untuk beberapa lagi kategori.
Menurut De niro, dia terkejut dan berduka atas pemergian Liotta serta menganggap rakannya itu masih muda.
“Dia terlalu muda untuk meninggalkan kami. Semoga berehat dengan tenang,” katanya.
Lorraine Bracco yang pernah memainkan peranan watak sebagai isteri Liotta dalam filem Goodfellas turut mengungkapkan rasa sedihnya terhadap pemergian rakannya itu di laman sosial Twitter.
“Di mana berada di seluruh dunia, ada sahaja memberitahu filem kegemaran mereka adalah Goodfellas.
“Kemudiannya, mereka selalu bertanya apakah bahagian terbaik dalam pembikinan filem ini. Jawapan saya, sentiasa berada di sisi Ray Liotta,” tulisnya.
Kevin Costner meluahkan perasaan kecewanya apabila mendapat tahu tentang kematian Liotta yang mana mereka pernah membintangi filem Field of Dreams pada tahun 1989.
“Hancur hati mendengar berita kematian Liotta.
“Walaupun meninggalkan legasi luar biasa, Liotta akan sentiasa menjadi ‘Joe Jackson tanpa kasut’ di hati saya,” tulis bintang utama filem Fields of Dreams, Kevin Costner.
Untuk rekod, Liotta pergi meninggalkan tunangnya Jacy Nittolo dan seorang anak perempuan bernama Karsen Liotta.

