BAYANGKAN jika usia anda sudah mencecah 100 tahun, apa agaknya yang ingin anda lakukan pada usia tersebut? Sanggupkah anda lakukan kerja gila dengan melompat dari tempat tinggi dengan usia begitu? Sudah tentu ia kerja gila!
Namun, itulah yang dilakukan seorang wanita dari Florida, Amerika Syarikat untuk menyambung ulang tahunnya yang ke 100 tahun!
Bagi meraikan usianya mencecah satu abad, Raymonde Sullivan meraikannya dengan melakukan terjunan dari udara. Ya, wanita yang berpangkat moyang ini melakukan terjunan pesawat dari ketinggian 10,000 kaki di udara.

Dua tahun lalu, Sullivan pernah memberitahu rakan-rakannya jika usianya mencecah 100 tahun, dia mahu melakukan terjunan udara dengan payung terjun. Dia mengotakan kata-katanya itu pada awal Mei lalu.
Dibantu dengan pakar bidang terjunan pesawat, Sullivan terjun dari pesawat di Sky Dive Sebatian dari ketinggian lebih 10,000 kaki di udara. Ia merupakan terjunan pertama Sullivan. Kelihatan gaya Sullivan yang bersahaja dan berani ketika melompat keluar dari pesawat melalui rakaman video.
Katanya, sepanjang usianya dia telah berdepan dengan pelbagai perkara, namun belum pernah melakukan terjunan udara. Sebab itu dia mahu melakukannya selagi dia masih mampu dan mempunyai peluang.


Wanita kelahiran England ini semasa muda pernah bertugas sebagai jururawat barisan hadapan di era Perang Dunia Kedua dengan memberi rawatan kepada tentera yang cedera dalam pertempuran.
Apakah rasanya terjun dari ketinggian itu?
“Menakutkan,” jawab wanita yang mempunyai anak, cucu dan cicit ini.
Apakah dia akan melakukan terjunan ini lagi di waktu akan datang? Dalam ketawa, Sullivan menjawab, “Tidak.”
Ia pengalaman yang menakutkan, namun juga sesuatu yang menakjubkan. Bagi Sullivan, cukuplah sekali ini ia melakukannya, sekurang-kurangnya dia telah berjaya melakukan sesuatu yang diingininya semasa dia masih bernafas.
Apa yang bagusnya, Sullivan masih diberikan kesihatan yang baik di usianya mencecah 100 tahun. Selepas melakukan terjunan itu, Sullivan meraikan ulang tahunnya bersama rakan-rakan dan ahli keluarganya.

_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

