KITA biasa melihat cicak di mana-mana saja, ia pemandangan biasa. Jika ada yang agak lain bentuknya pun, seperti cicak tokek yang badannya berwarna.

Namun, pernahkah anda melihat cicak gurun? Cicak gurun berbeza daripada spesies cicak yang biasa kita lihat. Nama saintifiknya ‘Moloch horridus’. Antara gelaran lain cicak ini ialah ‘syaitan gunung’, ‘syaitan berduri’ dan ‘cicak berduri’.

Gelaran aneh tersebut berpunca daripada bentuk cicak gurun ini yang agak menakutkan. Berbeza dengan cicak biasa, cicak ini memiliki figura berduri pada keseluruhan badan dari kepala hingga ekor.

Kebiasaannya, tubuh mereka berwarna kuning ke coklat kemerahan dan berubah menjadi hitam bergantung pada jenis tanah yang dilalui. Taktik tersebut digunakan sebagai langkah penyamaran.

Cicak gurun.

Cicak gurun ini juga mempunyai teknik mempertahankan diri dengan menggunakan ‘kepala palsunya’ sebagai cara untuk mengaburkan pandangan musuh. ‘Kepala palsu’ yang dimaksudkan adalah jisim yang menonjol pada tubuhnya iaitu terletak di belakang kepala sebenar.

Cicak ini mudah ditemui di kawasan gurun pasir Australia. Walaupun kewujudannya telah lama disedari oleh masyarakat asli Australia, namun ia  digambarkan kali pertama pada tahun 1841 oleh seorang ahli zoologi, John Edward Gray.

Walaupun nampak menggerunkan, namun cicak gurun bukanlah reptilia berbahaya. Malah, pergerakannya tidak selincah cicak lain selain menjadikan semut sebagai makanan utama.

Portal sekolah sains biologi Universiti Austin melaporkan anggaran sebanyak 24 hingga 45 ekor semut dimakan oleh cicak gurun dalam tempoh satu minit. Manakala kadar pemakanan setiap hidangan melibatkan jumlah 675 ekor hingga 2,500 ekor semut. Bukan itu saja, objek kecil seperti ranting, batu, bunga dan telur serangga turut menjadi santapan cicak ini.

Cicak ini boleh mencapai panjang sehingga 20 sentimeter. Manakala jangka hayatnya mampu menjangkau tempoh 20 tahun. Sama seperti cicak lain, ia juga membiak dengan cara bertelur. Dianggarkan kira-kira tiga hingga 10 biji telur terhasil dan melalui proses menetas selepas tiga atau empat bulan kemudian.

Ada lagi keistimewaan cicak gurun ini. Ia mampu menyerap air menggunakan kulitnya. Cicak ini mampu mengumpulkan air sama ada daripada hujan, embun atau tanah lembap tanpa menggunakan tenaga atau peralatan lain. Sebaliknya, ia memiliki kebolehan untuk menyerap cecair melalui kulit.

Titisan air di permukaan kulit akan disalurkan terus ke mulut melalui saluran kapilari. Ia menjadi laluan penting bagi membolehkan cicak ini bergerak aktif meskipun berhabitat di kawasan kering.

Pasukan penyelidik dari Universiti RWTH Aachen, Jerman pernah menjalankan ujian ke atas spesies ini. Sebanyak enam ekor cicak gurun di ambil dari  Gunung Gibson, Australia Barat.

Kajian yang diketuai oleh  Philipp Comanns itu dilakukan dengan meletakkan kesemua haiwan di atas takungan air cetek. Apa yang berlaku selepas itu adalah permukaan kaki yang menyentuh cecair menyerap sejumlah air untuk disalurkan ke bahagian mulut.

Pasukan penyelidik turut melihat pergerakan mulut cicak gurun terbuka dan tertutup beberapa kali. Perbuatan itu dilakukan selama tempoh 10 saat. Mereka mendapati gerakan itu berkait rapat dengan penghantaran cecair yang diserap dari bahagian kaki haiwan ini.

Selain itu, cicak gurun ini gemar membenamkan belakang badannya ke dalam pasir lembap untuk membantu menyerap lebih banyak air ke dalam badan. Boleh dikatakan, lokasi yang memiliki jenis pasir ini menjadi sumber air utama kepada cicak gurun. Tambahan lagi, pada waktu siang mereka lebih banyak berada di lubang bawah tanah bagi melindungi diri daripada cuaca panas.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com