Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan dilakukan Israel ke atas Masjid Al-Aqsa

MALAYSIA mengecam sekeras-kerasnya serangan dan pencerobohan pelampau dan pegawai Israel di Masjid Al-Aqsa serta kawasan sekitarnya, Ahad lalu. 

Wisma Putra dalam kenyataan menegaskan, pencerobohan yang dirancang di tapak suci umat Islam dan perhimpunan perarakan bendera di Kota Lama adalah satu bentuk provokasi. 

Menurut Wisma Putra, ia juga pelanggaran jelas terhadap kesucian Masjid Al-Aqsa serta kawasan sekitarnya. 

“Serbuan terbaharu di Masjid Al-Aqsa ini sememangnya merupakan tindakan pencerobohan oleh rejim penjajah dan pelampau Israel yang akan menyemarakkan lagi api permusuhan dalam serta luar rantau tersebut. 

“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk segera menuntut rejim Israel menghentikan sebarang tindakan provokasi bagi menjamin keamanan dan kestabilan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, Wisma Putra menegaskan, Malaysia berdiri teguh solidariti bersama rakyat Palestin dan menegaskan status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak suci umat Islam. 

Kementerian Luar Negeri memaklumkan, Malaysia turut menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi dan solidariti bersama rakyat Palestin. 

Baca artikel berkaitan: PM ajak Keluarga Malaysia kecam kekejaman Zionis terhadap Palestin

“Malaysia juga menyokong perjuangan rakyat Palestin mencapai kebebasan mutlak daripada pendudukan haram Israel sekali gus merealisasikan aspirasi untuk sebuah Palestin yang merdeka berdasarkan sempada pra-1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota,” jelasnya. 

Menurut laporan media, beribu-ribu penceroboh Israel mengadakan perarakan, Ahad lalu sempena apa yang mereka panggil sebagai Hari Penyatuan Baitulmaqdis, merujuk kepada pendudukan Israel ke bandar itu pada tahun 1967. 

Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, di mana terletaknya kompleks Masjid Al-Aqsa pada tahun tersebut. 

Pertempuran sekitar perarakan bendera tahun lalu membawa kepada serangan 11 hari Israel di Semenanjung Gaza menyebabkan lebih 260 rakyat Palestin terbunuh dan beribu cedera. 

Seramai 13 warga Israel turut terbunuh dalam kebakaran semasa konflik tersebut. 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram